Sinar Harian
BUKIT KAYU HITAM - Seorang warga Thailand ditahan bersama 400 liter petrol yang disembunyikan dalam tangki kenderaan diubahsuai, disyaki untuk diseludup ke negara jiran.Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Fauzi Mohd Yusof berkata, tangkapan dibuat semasa pemeriksaan laluan keluar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) pada Isnin ke atas sebuah kereta yang dilihat mencurigakan.Menurutnya, penahanan ke atas lelaki berusia 50-an itu dibuat sekitar jam 10.45 pagi di Blok B, laluan keluar Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam."Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan berdaftar Thailand yang berada dalam keadaan mencurigakan, pihak berkuasa telah menemui pengubahsuaian pada bahagian belakang serta ruang tempat duduk kenderaan tersebut yang dipercayai digunakan bagi tujuan menyeludup minyak petrol."Pemeriksaan lanjut mendapati sejumlah anggaran 400 liter petrol disembunyikan dalam kenderaan tersebut dengan nilai sekitar RM1,550," katanya dalam kenyataan.Beliau berkata, turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis Toyota Camry berwarna hitam bernombor pendaftaran Thailand.Jelasnya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM6,550."Tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut," katanya.Jelas beliau, pihak berkuasa akan terus mempergiat penguatkuasaan di pintu masuk sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara.Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Go to News Site