Sinar Harian
GERIK – Kejayaan memperoleh keputusan cemerlang 7A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi detik membanggakan buat seorang anak angkat kepada Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad apabila usaha gigihnya akhirnya membuahkan hasil.Muhammad Fiqkrie Haqeem Ahmad Dzulkefli, 18, mengakui tidak menyangka mampu mencapai keputusan tersebut, namun menyifatkannya sebagai hasil disiplin diri dan pengorbanan demi kejayaan.Muhammad Fiqkrie merupakan satu-satunya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gerik dipilih sebagai Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) mengakui bersyukur kerana sasarannya tercapai."Saya memang menyasarkan 7A, apabila memperolehinya, saya sangat seronok."Apa yang saya buat untuk capai keputusan ini memang berbaloi walaupun serba kekurangan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.Menurutnya, cabaran utama sepanjang tempoh pembelajaran adalah mengurus masa dengan baik selain memastikan fokus terhadap pelajaran sentiasa terjaga.Anak kedua daripada empat beradik itu turut berkongsi mengenai bantuan diterima menerusi program AACS yang digerakkan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) memberi suntikan semangat untuk terus berjaya."Setiap bulan saya menerima bantuan berjumlah RM100, ia digunakan untuk keperluan sekolah dan Internet. Apabila mendapat bantuan berkenaan, saya lebih bertanggungjawab untuk kekalkan prestasi."Jika sambung belajar nanti saya difahamkan bantuan bulanan turut meningkat. Ia sangat membantu," ujarnya.Selain bantuan kewangan, Muhammad Fiqkrie juga berpeluang menyertai pelbagai program pendidikan dan motivasi termasuk aktiviti bersama sekolah yang membantu mengurangkan tekanan belajar.Mengulas perancangan masa depan, Muhammad Fiqkrie bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat matrikulasi atau diploma dalam bidang sains atau kejuruteraan.Sementara itu, ibunya, Zaiton Abdul Malek, 40, meluahkan rasa bangga dengan kejayaan anaknya yang disifatkan sebagai hasil usaha sendiri tanpa mengikuti kelas tuisyen berbayar."Dia belajar sendiri sahaja. Kami faham kekangan kewangan, jadi tak mampu nak hantar tuisyen."Cikgu-cikgu di sekolah banyak membantu sehingga dia memperoleh keputusan cemerlang," katanya.Menurutnya, suaminya yang juga pesara menerima pencen sekitar RM2,200 sebulan, manakala dia menambah pendapatan keluarga melalui pekerjaan menghantar makanan."Pendapatan isi rumah sekitar RM3,000 lebih sebulan. Bantuan pendidikan daripada YBUDR memang sangat meringankan beban, terutama apabila anak-anak melanjutkan pelajaran," katanya.Kisah kejayaan Muhammad Fiqkrie dilihat selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan modal insan berkualiti melalui akses pendidikan dan sokongan berterusan kepada golongan berpotensi.Inisiatif seperti program AACS yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan keluarga malah menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar luar bandar untuk terus melangkah ke menara gading.Untuk rekod, program AACS merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan oleh YBUDR dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.Program yang bermula sejak 2010 itu sebelum ini dikenali sebagai Program Anak Angkat Menteri Besar dan kini terus diperkasakan dengan penyertaan pelajar dari pelbagai peringkat termasuk sekolah rendah, menengah hingga ke institusi pengajian tinggi serta mereka yang telah memasuki alam pekerjaan.Melalui AACS, pelajar sekolah rendah dan menengah menerima pelbagai manfaat antaranya elaun pendidikan bulanan, bantuan Back To School, bantuan perayaan serta program pengupayaan seperti motivasi, pembinaan pasukan dan lawatan sambil belajar.Bagi pelajar di peringkat sijil, asasi, matrikulasi, diploma dan ijazah pula, mereka menerima elaun pendidikan bulanan bagi membantu meneruskan pengajian.Program tersebut menyasarkan pelajar berpotensi cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan matlamat membantu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga selain melahirkan individu yang mampu menyumbang semula kepada masyarakat.
Go to News Site