Sinar Harian
SHAH ALAM – Agenda antirasuah yang diperkenalkan kerajaan ketika ini dilihat gagal apabila rakyat semakin resah dan hilang kepercayaan terhadap komitmen membanteras rasuah.Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, perkembangan membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mencetuskan kekecohan luar biasa sehingga mencemarkan imej negara.Menurutnya, rakyat kini mula mempersoalkan retorik tatakelola dan reformasi yang sering dilaungkan kerajaan apabila isu melibatkan ketua agensi pencegahan rasuah itu dilihat tidak ditangani secara telus."Ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan pelbagai cabaran ekonomi, mereka mengharapkan sebuah kerajaan yang bersih daripada rasuah, salah guna kuasa serta berani bertindak tanpa pilih kasih."Namun, kegagalan menunjukkan ketelusan dalam kes ini memberi isyarat buruk terhadap integriti negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak boleh berselindung di sebalik penjawat awam atau menjadikan mereka sebagai 'perisai politik' kepada kerajaan.Katanya, rakyat sedang memerhati dan akan memastikan kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej negara.Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menggantung tugas Azam sehingga siasatan selesai serta melantik pemangku yang lebih berwibawa bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM."Kerajaan juga perlu menyegerakan proses siasatan kerana isu ini sudah menjadi perhatian utama rakyat dan masyarakat antarabangsa."Semakin lama siasatan bertangguh dan berlarutan, semakin bertambahlah defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pada hari ini," tambah beliau.
Go to News Site