Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Kegiatan kumpulan samun bersenjata yang didalangi seorang pegawai polis tumpas selepas enam individu termasuk individu berkenaan diberkas dalam operasi sekitar ibu negara, Ahad lalu.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kumpulan terbabit dipercayai aktif melakukan samun dengan menyamar sebagai polis, sebelum menyasarkan kediaman warga asing di sekitar Kepong."Polis menerima tiga laporan berasingan melibatkan kes samun bersenjata dan penyamaran sebagai penjawat awam di daerah Sentul."Kesemua mangsa terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki warga China serta seorang wanita warga Indonesia berusia antara 29 hingga 52 tahun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 pagi hingga 7.30 pagi pada 5 April lalu apabila suspek bertindak memecah masuk tiga kediaman mangsa di kawasan Kepong."Dalam kejadian itu, suspek yang berjumlah enam individu dan tidak dikenali telah menyamar sebagai pegawai polis sebelum melakukan samun."Salah seorang suspek turut mengacukan objek menyerupai pistol bagi menakutkan mangsa," katanya.Fadil berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan enam lelaki warga tempatan berusia antara 31 hingga 51 tahun."Antara yang ditahan termasuk seorang pegawai polis yang telah digantung tugas atas kesalahan dadah dan dipercayai bertindak sebagai koordinator kumpulan."Selain itu, dua lagi suspek bekerja sebagai pengawal pengawal peribadi dan dipercayai menyalahgunakan lesen senjata api bagi tujuan jenayah," katanya.Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan mangsa tertentu yang dikenal pasti memiliki harta bernilai tinggi sebelum melakukan samun."Mereka akan memecah masuk rumah mangsa, menyamar sebagai polis dan seterusnya melarikan barangan berharga," jelasnya.Dalam tiga kejadian tersebut, suspek dilaporkan melarikan tiga kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Rolls-Royce dan Bentley selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, 1,200 dolar Amerika, barangan kemas serta dua jongkong emas."Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM4.4 juta," katanya.Menurutnya, polis berjaya merampas semula kesemua kenderaan yang disamun selain merampas dua pucuk pistol, lima kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan telefon bimbit dan dua pas keselamatan."Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis amphetamine."Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan kumpulan itu dalam kes jenayah lain," katanya.Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan."Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat," katanya.
Go to News Site