Sinar Harian
SEREMBAN – Seorang lelaki warga emas maut apabila dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 selepas dipercayai terjatuh dari jambatan Sungai Ujong-Bukit Nenas di sini pada Rabu.Kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu berlaku di Kilometer (KM) 263.2 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dari arah Kuala Lumpur menghala ke Seremban."Sebaik sampai di lokasi, pemandu itu telah terlanggar seorang pejalan kaki, iaitu lelaki berusia 74 tahun yang dipercayai terjatuh dari jambatan terbabit."Akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa sebelum itu menunggang motosikal jenis Honda C70 dan telah berhenti di atas jambatan sebelum bertindak terjun dari ketinggian kira-kira tujuh meter.Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian."Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, iaitu Inspektor Syakinah Ahmad di talian 06-6033222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan."Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Go to News Site