Collector
Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Saksi lihat rakan maut ditembak depan mata | Collector
Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Saksi lihat rakan maut ditembak depan mata
Sinar Harian

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Saksi lihat rakan maut ditembak depan mata

KUALA LUMPUR – Jeritan meminta berundur, melihat dua rakan setugas maut dengan kesan tetakan di wajah dan tembakan di kepala, menjadi detik paling mengerikan disaksikan seorang anggota polis dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada jam 2.30 pagi 17 Mei 2024 lalu.Detik menyayat hati itu diceritakan, Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa, 25, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan hari pertama kes lima anggota keluarga penyerang balai polis tersebut yang berdepan sembilan pertuduhan berkaitan keganasan di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu."Saya nampak Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar terbaring berlumuran darah dengan kesan tetakan di wajah dari telinga ke mulut."Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said pula ditembak di kepala hingga maut, selain Sarjan Mohd Hasif Roslan terkena dua tembakan di bahu dan kaki oleh seorang lelaki yang memakai beg galas dan bertopeng muka," katanya.Menceritakan kejadian itu, beliau yang juga saksi pendakwaan pertama berkata, dia menerima laporan berhubung kejadian tersebut ketika membuat rondaan cegah jenayah bersama Mohd Hasif.Sebaik tiba di balai polis katanya, mereka dikejutkan dengan jeritan oleh Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh.Katanya, Mohamad Aznel meminta mereka berundur kerana terdapat seorang suspek melepaskan tembakan.Menurutnya, sebaik turun dari kenderaan, mereka mendapati Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar terbaring dengan kesan tetakan pada wajah dari telinga hingga ke mulut."Ada banyak darah, dia terbaring di situ, kami kemudian bergegas ke bahagian hadapan balai dan berlindung di tepi mesin air."Kami kemudian diarahkan oleh Mohamad Aznel untuk memeriksa bahagian belakang balai bagi mengesan kedudukan suspek," katanya.Sebaik mengintai kawasan tersebut, beliau berkata, suspek itu sekali lagi melepaskan tembakan.Situasi semakin genting apabila Mohd Hasif keluar dari kawasan perlindungan berhampiran kereta perisai dan berjalan ke arah pintu keluar balai bagi menarik perhatian suspek."Bagaimanapun dia terkena tembakan di bahu dan punggung kiri sementara seorang lagi anggota, Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said terkena tembakan di kepala sebelum rebah berdekatan kereta perisai."Suspek cuba merampas senjata dari jasad Muhamad Syafiq yang boleh menembak secara bertalu-talu tetapi gagal."Saya kemudian berlindung di belakang kereta perisai kemudian melepaskan satu tembakan ke arah suspek."Saya cuba untuk menembak suspek buat kali kedua, namun pistol tersangkut dan mengalami masalah," katanya.Katanya, tembakan kedua hanya berjaya dilepaskan ke badan suspek, selepas beliau menyelaras semula senjata itu ketika berlindung di belakang kereta perisai.Tembakan itu mengenai suspek sebelum lelaki tersebut terbaring berhampiran mayat Muhamad Syafiq.Sebaik bantuan tiba, beliau telah mengecam jasad Muhamad Syafiq serta lelaki yang melepaskan tembakan itu, sementara Mohd Hasif dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.Beliau yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, Sabah, mengakui kejadian itu meninggalkan kesan mendalam."Saya sangat trauma dan sedih kehilangan rakan sekerja namun pengalaman itu membuatkan diri saya lebih berwaspada terhadap keadaan sekeliling ketika menjalankan tugas," katanya.Pada Rabu, ketika pertuduhan dibacakan semula terhadap kelima-lima tertuduh yang diwakili peguam, Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri, mereka mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.Ibu penyerang balai, Rosna Jantan, 61, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.Bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.Sementara itu, adik-beradik penyerang, Radin Romyullah, 36, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.Dua anak perempuan Radin Imran iaitu Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 24, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 26, terkorban manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 40, cedera ditembak selepas diserang seorang penyerang lelakiPerbicaraan di hadapan Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor bersambung Khamis.

Go to News Site