Collector
Selat Hormuz: Sindir Malaysia runding dengan Iran, Syahredzan bidas bekas Ahli Parlimen Singapura | Collector
Selat Hormuz: Sindir Malaysia runding dengan Iran, Syahredzan bidas bekas Ahli Parlimen Singapura
Sinar Harian

Selat Hormuz: Sindir Malaysia runding dengan Iran, Syahredzan bidas bekas Ahli Parlimen Singapura

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membidas kenyataan bekas Ahli Parlimen Dilantik (NMP) Singapura, Calvin Cheng berhubung kenyataan dianggap secara halus menyindir Malaysia kerana berunding dengan Iran bagi mendapatkan laluan selamat di Selat Hormuz.Naib Presiden DAP itu berkata, kenyataan Calvin tersasar dan bersifat menghasut apabila mendakwa Singapura 'tidak akan berunding bagi laluan selamat kerana tidak berunding dengan pengganas'."Biar saya jelaskan, kami menghormati pendirian Singapura dalam konflik ini. Setiap negara mempunyai keperluan tenaga yang berbeza dan menggunakan pendekatan berbeza untuk mengatasi krisis tersebut."Malaysia juga akan menentukan jalan sendiri demi rakyatnya. Kerajaan kami akan lakukan apa sahaja demi melindungi rakyat Malaysia, termasuk berunding untuk laluan melalui Selat Hormuz," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.Terdahulu Calvin memuji pendirian Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, yang menyatakan tindakan berunding mendapatkan laluan melalui selat itu boleh menjejaskan undang-undang antarabangsa.Di Facebooknya, Calvin berkata, Singapura tidak berunding dengan pengganas, sebaliknya ada negara berbangga kononnya telah melakukan rundingan laluan, namun pada masa sama mengatakan mereka akan kehabisan minyak bulan depan.Dalam pada itu Syahredzan menegaskan, Vivian tidak menyebut bahawa alasan Singapura tidak akan berunding untuk laluan selamat itu kerana Singapura 'tidak berunding dengan pengganas'.Justeru ujarnya, Calvin telah salah menggambarkan pendirian negaranya sendiri."Membuat kenyataan mengapi-apikan, yang menyasarkan respons Malaysia terhadap krisis ini adalah tidak perlu dan sama sekali tidak boleh diterima."Saya juga sangat pasti kenyataan Encik Cheng mengenai Malaysia tidak mencerminkan pendirian rasmi negaranya."Kenyataan sebegini hanya akan membakar ketegangan antara rakyat kedua-dua negara pada ketika kita sepatutnya tidak saling menyerang, sebaliknya bekerjasama untuk mengatasi kejutan terbesar yang disaksikan dunia sejak pandemik," ujarnya.

Go to News Site