Sinar Harian
GEORGE TOWN – Gangguan bekalan bahan api dilaporkan berlaku di beberapa stesen minyak di Pulau Pinang.Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, ia melibatkan bekalan diesel di lima stesen serta petrol RON95 di sebuah stesen.Jegan berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung perkara itu dan hasil semakan mendapati ia berpunca daripada kelewatan penghantaran bekalan.Menurutnya, perkara berkenaan dimaklumkan oleh pihak syarikat jenama minyak utama tersebut dalam satu mesyuarat bersama syarikat-syarikat minyak utama yang diadakan pada Jumaat lalu."Pihak syarikat jenama minyak berkenaan menjelaskan bahawa gangguan bekalan ini berlaku disebabkan kapal penghantaran tiba lewat daripada jadual asal."Bagaimanapun, langkah segera sedang diambil bagi mengatasi isu tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini, stesen minyak daripada jenama lain tidak berdepan sebarang masalah bekalan."Bekalan bahan api di stesen lain adalah mencukupi dan pengguna masih boleh mendapatkannya seperti biasa," ujarnya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan terus membuat pembelian seperti biasa di stesen minyak yang beroperasi."Situasi ini terkawal dan hanya melibatkan beberapa stesen tertentu sahaja," katanya.
Go to News Site