Sinar Harian
BATU KURAU – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil menghulurkan sumbangan berjumlah RM3,000 untuk tiga anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar sebagai jaminan pendidikan masa depan mereka selepas kehilangan bapa dalam kemalangan tragis baru-baru ini.Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, bantuan diberikan dalam bentuk simpanan pendidikan menerusi pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) berjumlah RM1,000 bagi setiap anak menjadikan keseluruhan sumbangan sebanyak RM3,000.Menurutnya, inisiatif tersebut dilaksanakan menerusi Program Ziarah Kasih PTPTN sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu."PTPTN amat prihatin terhadap nasib keluarga yang terlibat dalam tragedi seperti ini, lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak-anak kecil yang masih mempunyai perjalanan pendidikan yang panjang."Bantuan dalam bentuk akaun Simpan SSPN ini lebih bersifat jangka panjang kerana ia bukan sahaja menyediakan simpanan, malah turut menawarkan dividen tahunan yang kompetitif serta perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit," katanya kepada pemberita.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni waris mangsa di Kampung Repoh di sini pada Rabu.Tambah beliau, simpanan tersebut juga memberi kelebihan kepada penjaga untuk menambah tabungan dari semasa ke semasa selain boleh dikeluarkan sekiranya diperlukan."Apabila anak-anak ini mencapai usia untuk melanjutkan pelajaran, mereka tidak perlu terlalu bergantung kepada pinjaman kerana sudah mempunyai simpanan asas."Malah, pemegang akaun juga layak memohon Geran Sepadan sehingga maksimum RM10,000 serta menikmati pelbagai manfaat lain yang disediakan," jelasnya.Dalam pada itu, Norliza turut menggalakkan ibu bapa di negara ini supaya membuka akaun Simpan SSPN seawal kelahiran anak bagi menjamin masa depan pendidikan mereka."Dengan hanya RM20 untuk pembukaan akaun, ibu bapa sudah boleh memulakan tabungan yang patuh syariah, dijamin kerajaan serta menawarkan pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun," ujarnya.Sementara itu, balu Allahyarham, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, bantuan yang diterima amat bermakna buat dirinya dalam merancang masa depan pendidikan anak-anak.Menurutnya, beliau bercadang untuk terus menambah simpanan dalam akaun tersebut termasuk menyimpan duit raya anak-anak bagi memastikan tabungan terus berkembang."Saya rasa ini sangat membantu kerana ada dividen dan boleh digunakan jika terdesak. Sekurang-kurangnya ada simpanan untuk masa depan anak-anak," katanya.Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi 29 Mac lalu, Amirul Hafiz maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dalam keadaan mabuk serta di bawah pengaruh dadah di Jalan Raya Barat, Klang.Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Nadia serta tiga anak iaitu Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7 dan Nur Humaira, 2.
Go to News Site