Sinar Harian
PUTRAJAYA - Kenaikan harga minyak di Malaysia bukan disebabkan kekurangan bekalan bahan api semata-mata, sebaliknya didorong lonjakan pelbagai kos termasuk insurans dan pengangkutan.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, meskipun ada beberapa perkembangan yang sedikit meredakan, situasi keseluruhan masih belum ada kepastian."Kalau soal laluan (Selat Hormuz), Alhamdulillah hubungan baik Malaysia dengan Iran membolehkan kapal Petronas melepasi dan dalam beberapa hari lagi akan sampai ke Pengerang (Johor), Insya-ALLAH."Tetapi ia tidak berakhir di situ. Kos minyak yang lama, yang diambil sebelum perang, tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat kerana kos insurans itu sudah melepasi 100 peratus, kos pengangkutan juga bertambah," katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini, pada Khamis.Kementerian Kewangan (MOF) pada Rabu mengumumkan harga diesel di Semenanjung naik 70 sen manakala petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi naik 40 sen di seluruh negara mulai hari ini.Harga RON97 ditetapkan pada RM5.35 seliter berbanding RM4.95 seliter manakala harga RON95 ditetapkan pada RM4.27 seliter, naik daripada RM3.87 seliter.Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, setiap dasar kerajaan termasuk keputusan mengurangkan kuota Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada 200 liter sebulan, dibuat dengan mengambil kira cabaran semasa dan masa depan.Mengakui ada pihak yang mengeluh dan tidak berpuas hati dengan langkah berkenaan, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, ia bagi mengelakkan rakyat berdepan kesan kenaikan harga bahan api pada masa depan."Saya boleh luluskan (kembalikan kuota asal) bagi menyenangkan rakyat dan bagi semua happy (gembira) sementara, selepas itu masing-masing akan terima beban. Tak boleh."Apa-apa dasar yang diputuskan oleh kerajaan telah memikirkan cabaran kini dan cabaran masa depan. Apa yang kita boleh lakukan, kita lakukan," ujarnya.
Go to News Site