Sinar Harian
SEREMBAN - Lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh wanita senegara, awal Mac lalu.Tertuduh, Win Htike, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Myanmar di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan membunuh seorang wanita warga Myanmar bernama Aye Aye Aung, 35.Perbuatan berkenaan dilakukan kira-kira jam 10 malam di tangga tingkat empat sebuah premis di Jalan Universiti, Nilai, pada 2 Mac lalu.Berikutan itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun KeseksaanJika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara sehingga tempoh 30 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dikenakan maksimum 12 sebatan.Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon tarikh baharu bagi penyediaan laporan bedah siasat, laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan toksikologi.Mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menetapkan 13 Mei depan bagi sebutan semula kes.Media pada 5 Mac lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki warga Myanmar di Puchong, Selangor selepas disyaki mengelar leher wanita senegara hingga maut dalam kejadian di asrama pekerja di Nilai, malam 2 Mac lalu.Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya dilaporkan berkata, masalah hutang dipercayai menjadi punca kejadian yang mana suspek dikatakan berhutang sebanyak RM10,000 daripada mangsa.
Go to News Site