Sinar Harian
KUALA SELANGOR - Kilang plastik di Ijok di sini yang dipercayai dikendalikan warga China dengan berselindung memproses sisa elektronik (e-waste) digempur pada Selasa.Serbuan bermula jam 12 tengah hari itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor hasil risikan selama sebulan.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pemeriksaan mendapati kilang itu dipercayai menggunakan lesen kitar semula plastik bagi mengaburi pihak berkuasa, manakala e-waste yang dibawa masuk menggunakan lori atau kontena dilabelkan sebagai plastik kitar semula.Menurutnya, premis itu dipercayai menggajikan pekerja warga Bangladesh yang disyaki tidak memiliki dokumen sah dan tinggal di dalam premis."Premis ini turut dilengkapi dengan sistem pemantauan dan amaran awal bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa serta akan menyembunyikan aktiviti mereka," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Beliau berkata, serbuan itu berjaya menahan 22 lelaki warga asing terdiri daripada tujuh warga China dan 15 warga Bangladesh berusia lingkungan 21 hingga 66 tahun.Tambahnya, semakan awal mendapati enam lelaki warga China dan 10 lelaki warga Bangladesh telah menyalahgunakan kemudahan pas yang dimiliki, dua warga Bangladesh tinggal lebih masa, manakala warga asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.Jelas Zakaria, semasa operasi dijalankan, penjaga premis enggan memberikan kerjasama dan beberapa warga asing turut bertindak agresif dengan cuba melarikan diri serta bersembunyi bagi mengelak daripada ditahan, namun berjaya dikawal."Seorang pegawai operasi mengalami kecederaan ketika menjalankan pemeriksaan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh," ujarnya.Katanya, pasukan operasi telah menyita 12 naskhah pasport Bangladesh, enam naskhah pasport China, kad perakam waktu dan lesen perniagaan premis.Tegasnya, seorang lelaki tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan."JIM akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras apa jua aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini agar kestabilan dan kemakmuran negara sentiasa terpelihara," ujarnya.Kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(4) dan Seksyen 6(3) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.Tindakan turut diambil oleh pihak JTK di bawah Peraturan 8 Peraturan-Peraturan Kerja 1957.
Go to News Site