Sinar Harian
SEREMBAN - Tiga lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menculik rakan senegara bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM20,000 bulan lalu.Tertuduh, Kazi Miostofa, 38, Maruf Hossain, 28, dan Alim Abdul, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, N Kanageswari selepas kertas pertuduhan dibacakan.Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi yang masih bebas telah didapati menculik Roni Hawlader dengan niat untuk meminta wang tebusan berjumlah RM20,000.Perbuatan terbabit dilakukan pada 22 Mac 2026, jam lebih kurang 1 tengah hari di hadapan Kedai Kasut Bata, Jalan Dato Sheikh Ahmad di sini.Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan boleh dikenakan sebatan.Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan tidak boleh dijamin.Bagaimanapun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, beliau mencadangkan RM50,000 dengan dua penjamin tempatan bagi setiap tertuduh serta mengarahkan pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.Beliau juga meminta mahkamah memerintahkan tertuduh menjauhi mangsa dan saksi pendakwaan lain.Peguam, Mohd Hanif Hassan memohon mahkamah membenarkan kesemua tertuduh dijamin atas alasan mereka telah pun berkahwin dan mempunyai tanggungan di Bangladesh.Tambahnya, anak guamnya juga berharap mahkamah dapat memberikan jaminan yang munasabah kerana pendapatan kesemua tertuduh kira-kira RM2,000 sebulan.Beliau turut difahamkan bahawa pengadu ingin menarik balik laporannya terhadap kesemua tertuduh.Mahkamah menolak jaminan diberi kepada kesemua tertuduh dan menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Go to News Site