Sinar Harian
SHAH ALAM – Penggunaan Akaun Fleksibel kini lebih tertumpu dalam kalangan ahli pertengahan usia bekerja, pencarum aktif, kumpulan berpendapatan rendah serta bumiputera.Laporan penyelidikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertajuk 'Enduring Today Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel sebagai Garis Keselamatan Kewangan untuk Kesejahteraan' menunjukkan kemudahan ini digunakan untuk menangani keperluan kecairan berulang berbanding pengeluaran bersifat pilihan.Menurut laporan itu, pengeluaran berkait rapat dengan keperluan kewangan segera dan berfungsi sebagai sokongan penting bagi menghadapi tekanan kos sara hidup yang meningkat."Penggunaan untuk keperluan harian, kos kesihatan dan bayaran hutang mencatatkan kadar penggunaan tertinggi merentas semua kumpulan demografi."Walaupun keutamaan perbelanjaan asas adalah hampir sama, intensiti dan komposisi pengeluaran berbeza antara kumpulan," menurut laporan tersebut.Tambah laporan itu, pengguna yang kerap membuat pengeluaran cenderung menggunakan Akaun Fleksibel untuk menampung perbelanjaan rutin dan bermusim, manakala pengguna kurang kerap biasanya menyimpan kemudahan ini untuk keperluan sekali-sekala atau tidak tetap."Ini turut mencerminkan latar belakang sosioekonomi dan peringkat kehidupan. Ahli muda dan berpendapatan rendah lebih bergantung kepada pengeluaran untuk keperluan harian dan kos pengangkutan."Ahli lebih berusia dan berpendapatan tinggi pula cenderung mengeluarkan kurang kerap tetapi dalam jumlah lebih besar bagi perbelanjaan," jelas laporan itu.Laporan itu juga menekankan bahawa Akaun Fleksibel bukan sahaja membantu menampung keperluan wang tunai, malah berpotensi menjadi alat untuk membina ketahanan kewangan jangka panjang."Pada masa yang sama, langkah-langkah ekonomi yang lebih luas bagi menyokong pertumbuhan gaji, mengurangkan tekanan kos sara hidup serta integrasi lebih kukuh dalam sistem perlindungan sosial adalah penting," ujarnya.
Go to News Site