Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Balai Ulu Tiram, Johor Bahru memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, seorang anggota polis tetap menggenggam erat senjata HKMP5 ketika mempertahankan balai, dalam kejadian serangan oleh seorang suspek lelaki, pada 17 Mei 2024 lalu.Saksi pendakwaan kedua, Inspektor Mohd Hisham Ezahar, 38, berkata demikian, ketika perbicaraan hari kedua kes lima anggota keluarga penyerang balai polis tersebut yang berdepan sembilan pertuduhan berkaitan keganasan.Mohd Hisham yang bertugas di balai berkenaan sejak tiga tahun lalu berkata, tubuh Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said terbaring dengan darah mengalir di kepalanya.Beliau memberi gambaran akhir keberanian anggotanya, yang mempertahankan tugas hingga ke titisan darah terakhir."Jasad Muhamad Syafiq berada dalam keadaan terbaring dekat kereta perisai bersebelahan bangunan kaunter pertanyaan di balai polis berkenaan."Selain itu, saya juga melihat seorang lagi anggota polis, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar terbaring berdekatan longkang antara berek dengan bangunan balai dengan kesan koyakan pada wajah," katanya.Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kassim, Mohd Hisham berkata, pada hari kejadian, dia menerima laporan berhubung serangan itu daripada anggotanya, Lans Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh (kini Koperal) pada jam 2.30 pagi."Dia memberitahu ada seorang suspek masuk ke balai dengan memakai topeng dan memegang parang."Saya dengar suara Mohamad Aznel dalam keadaan cemas dan termengah-mengah," katanya.Sejurus tiba di balai polis pada jam 2.45 pagi, beliau melihat dua anggotanya berada di luar balai berkenaan, di bawah jejambat iaitu Mohamad Aznel dan Koperal Mohd Hasif Roslan (kini Sarjan).Beliau mendapati, Mohd Hasif mengalami kecederaan berdasarkan pakaian anggota itu yang dipenuhi darah.Katanya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor tiba di balai pada jam 3.30 pagi dan beliau hanya membenarkan masuk untuk pengecaman mayat, dua jam kemudian.Pendakwaan: Selain dua anggota yang gugur itu, siapa lagi yang Inspektor buat pengecaman?Mohd Hisham: Suspek berkenaan.Pendakwaan: Dia ada di mana?Mohd Hisham: Dia berada bersebelahan Muhamad Syafiq.Pendakwaan: Dia masih hidup?Mohd Hisham: Sudah meninggal dunia.Pendakwaan: Boleh terangkan keadaan suspek?Mohd Hisham: Ada satu beg galas berdekatan si mati.Beliau juga berkata, telah memberi maklumat berkaitan semua mangsa kepada pasukan forensik bagi membantu siasatan lanjut dan berada di balai sehingga 6 petang hari sama.Mengikut pertuduhan, ibu penyerang balai, Rosna Jantan, 61, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.Bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, membuat pengakuan sama, atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.Sementara itu, adik-beradik penyerang, Radin Romyullah, 36, juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.Dua anak perempuan Radin Imran iaitu Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan berkaitan ideologi keganasan.Dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, Ahmad Azza Fahmi, 24, dan Muhamad Syafiq, 26, terkorban manakala Mohd Hasif, 40, cedera ditembak di bahu dan punggung kiri.Perbicaraan di hadapan Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor bersambung jam 2 petang.
Go to News Site