Sinar Harian
KUALA PILAH – Perselisihan faham dalam sebuah keluarga di Taman Air Mawang, Johol, di sini pada Khamis telah membawa kepada pergelutan antara dua beradik sehingga menyebabkan kedua-duanya cedera.Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, polis menerima maklumat berkaitan kejadian itu kira-kira jam 3.49 petang."Maklumat awal diterima melalui panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan di sebuah rumah di taman perumahan terbabit."Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga berkaitan urusan peribadi," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Menurutnya, mangsa lelaki berusia 27 tahun telah pergi ke rumah keluarganya sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan.Jelas beliau, seorang lelaki yang juga abang kepada mangsa telah bertindak datang ke lokasi kejadian dengan membawa sebilah parang dan menyerang mangsa."Tindakan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka dan kedua-duanya cedera."Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kiri dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, manakala suspek pula mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar," katanya.Tambahnya, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan."Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Supiah Ishak di talian 019-9933978," katanya.
Go to News Site