Sinar Harian
DISEBABKAN perang di Iran, suasana ekonomi pelbagai negara di dunia menjadi kelam-kabut. Gangguan ke atas bekalan minyak dan bahan-bahan berkaitan menyebabkan kenaikan kos pengangkutan dan lain-lain barangan. Sektor pertanian juga terkesan kerana kekurangan bekalan baja yang bersumberkan bahan asas minyak dan gas. Sebenarnya, banyak lagi sektor yang terkesan yang mempengaruhi perkembangan ekonomi dunia dan serantau.Sekiranya peperangan tamat hari ini, kesannya akan berterusan kerana pemulihan infrastruktur minyak dan gas yang terjejas itu akan memakan masa. Lagipun, kita tidak tahu perubahan peraturan di Selat Hormuz kerana Iran mahu mengenakan caj laluan ke atas kapal-kapal yang melaluinya. Jika ini benar-benar terjadi, struktur kos logistik akan kekal meningkat.Setiap kerajaan di dunia sudah tentu memperkenalkan pelbagai cara untuk mengurangkan kesan perang ini ke atas pemain-pemain pasaran, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Disebabkan saiz dan modal mereka, PMKS lebih mudah terkesan dengan gangguan bekalan dan kenaikan kos. Mereka juga mempunyai sumber modal insan dan kepakaran yang terhad untuk berinovasi dan mengubah haluan dalam menangani cabaran-cabaran yang ada.Selain suntikan modal dan penambahan dana melalui institusi kewangan serta agensi-agensi kerajaan, satu langkah lain yang boleh dipertimbangkan ialah mengurangkan beban pematuhan pelbagai undang-undang dan peraturan yang sedia ada. Kerenah birokrasi serta peraturan yang kompleks bukan sahaja meningkatkan kos perniagaan, tetapi juga mendedahkan PMKS kepada risiko didenda dan dikenakan penalti oleh agensi-agensi penguat kuasa.Kita ambil contoh peraturan berkaitan jualan. Walaupun perniagaan dengan jualan di bawah RM1 juta setahun dikecualikan daripada melaksanakan e-invois, ada yang sudah memenuhi had yang mewajibkan mereka mengutip cukai jualan dan perkhidmatan. Sekiranya nilai ambang kedua-dua peraturan ini diselaraskan kepada RM1 juta, beban birokrasi ke atas PMKS boleh dikurangkan. Malah, sekiranya nilai ambang yang lebih tinggi diperkenalkan, lebih banyak PMKS dapat mengelakkan beban birokrasi ini dan menumpukan perhatian untuk menghadapi keadaan yang mencabar.Bagi pembuat dasar yang tidak pernah menjadi usahawan, mereka mungkin tidak merasai tekanan yang dihadapi oleh usahawan PMKS, terutamanya yang baharu memulakan perniagaan. Apa yang difikirkan setiap hari ialah bagaimana memastikan perniagaan mereka terus bertahan serta menangani pelbagai cabaran daripada aspek pengeluaran, pemasaran, modal insan, kewangan dan juga pematuhan undang-undang serta peraturan.Lagipun, kebanyakan penguat kuasa hanya menumpukan kepada beberapa bahagian dalam undang-undang dan peraturan yang berkenaan, sedangkan usahawan PMKS dianggap telah menguasai keseluruhan undang-undang tersebut. Bukankah terdapat maksima perundangan yang menyatakan bahawa "kejahilan undang-undang tidak boleh dijadikan alasan"? Ini merupakan satu beban yang berat, terutamanya bagi usahawan yang tidak pernah didedahkan kepada pendidikan keusahawanan yang komprehensif.Ketika dunia menghadapi kegawatan yang dicipta manusia ini, kita seharusnya mengambil peluang untuk mencorakkan semula landskap keusahawanan di negara kita. Kita memerlukan lebih banyak PMKS yang berjaya kerana merekalah yang akan menjadi syarikat gergasi pada masa hadapan. Permudahkan urusan mereka di peringkat awal sehingga mereka mencapai skala yang mencukupi dan mempunyai sumber untuk menghadapi persekitaran perniagaan yang lebih kompleks. Ini akan memanfaatkan negara kerana kita akan memiliki lebih banyak syarikat berjaya yang membayar cukai setimpal dengan kejayaan mereka.*Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji
Go to News Site