Sinar Harian
KEGAGALAN Sunway Bhd untuk mengambil alih IJM Corp Bhd selepas hanya memperoleh 1.17 bilion saham atau 33.43 peratus daripada jumlah saham berhak mengundi mencerminkan betapa besar pengaruh pelabur institusi dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dalam menentukan hala tuju sesuatu urus niaga korporat.Peranan pemegang saham besar boleh dianggap sebagai ‘kingmaker’ kerana sokongan mereka menjadi faktor kritikal kepada kejayaan atau kegagalan sesuatu pengambilalihan, selaras dengan keperluan majoriti mutlak serta penilaian terhadap daya tarikan tawaran yang dikemukakan.Secara asasnya, sesuatu pengambilalihan memerlukan sekurang-kurangnya 50 peratus sokongan pemegang saham namun Sunway hanya berjaya meraih sekitar 33 peratus walaupun memiliki kedudukan tunai melebihi RM1 bilion.Antara faktor utama ialah struktur tawaran yang hanya mengandungi sekitar 10 peratus komponen tunai dan selebihnya 90 peratus dalam bentuk saham baharu yang dilihat kurang menarik dari sudut keyakinan pelabur.Secara umumnya, komponen tunai yang lebih tinggi cenderung meningkatkan tahap penerimaan kerana ia memberi kepastian nilai berbanding tawaran berasaskan saham yang terdedah kepada ketidaktentuan pasaran.Selain itu, penawaran saham baharu pada harga RM3.15 sesaham turut menimbulkan persoalan dari segi penilaian khususnya sama ada ia mencerminkan nilai sebenar aset IJM yang dianggap bernilai tinggi.Sehubungan itu, Sunway perlu mengambil beberapa langkah strategik dan penambahbaikan ketara sekiranya ingin mengukuhkan tawaran serta meningkatkan peluang kejayaan dalam percubaan pengambilalihan kali kedua.Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr Shamshul Anaz Kassim berkata, Sunway perlu meningkatkan komponen tunai melebihi 10 peratus dalam tawaran serta menampilkan indikator lebih menarik bagi mendorong pemegang saham IJM melepaskan pegangan."Jurang besar antara komponen tunai dan saham dilihat sebagai faktor yang melemahkan daya tarikan tawaran tersebut dalam kalangan pemegang saham. Keadaan ini secara keseluruhan menggambarkan bahawa sebahagian besar pelabur tidak bersetuju dengan struktur dan nilai tawaran dikemukakan."Justeru, sebarang percubaan kedua perlu disertai penstrukturan semula tawaran yang lebih kompetitif dan meyakinkan bagi menarik sokongan pemegang saham utama," katanya kepada Sinar Bisnes.Tambahnya, Sunway juga perlu mendapatkan sokongan awal daripada GLIC serta mengadakan rundingan dengan pemegang saham utama bagi mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus sokongan."Seterusnya, Sunway perlu meningkatkan keyakinan pemegang saham IJM melalui nisbah pertukaran saham yang lebih menarik serta potensi pulangan dividen lebih kompetitif daripada entiti gabungan Sunway-IJM," katanya.Selain itu, Shamshul Anaz berpandangan, faktor ‘terdesak’ IJM juga perlu ditangani memandangkan syarikat itu kini dilihat proaktif menyusun semula pengurusan dan operasi projek bagi memperkukuh nilai serta reputasinya."Oleh itu, Sunway perlu bertindak lebih pantas sebelum nilai aset IJM meningkat yang berpotensi memaksa tawaran dibuat pada harga lebih tinggi."Dalam masa sama, peningkatan komponen tunai juga penting bagi menarik minat dan persetujuan pelabur utama terhadap cadangan pengambilalihan tersebut," jelasnya.Penguasaan aset strategikMenurut beliau, pengambilalihan IJM oleh Sunway akan mewujudkan entiti yang lebih dominan dengan penguasaan aset strategik bernilai RM12 bilion."Gabungan kepakaran dalam sektor pembinaan, hartanah dan infrastruktur mampu membina skala ekonomi lebih mampan."Kesannya, entiti yang lebih besar Sunway-IJM ini akan dapat mengurangkan kos operasi serta meningkatkan daya saing dalam membida projek-projek mega pada masa kini dan hadapan," ujarnya.Beliau berkata, trend pengukuhan pengambilalihan ini amat penting berasaskan beberapa faktor utama termasuk usaha mencairkan nilai aset serta keupayaan memperkukuh pembangunan infrastruktur secara lebih efisien."Ini merangkumi pelupusan aset luar negara yang tidak menguntungkan serta pelaksanaan projek berdaya maju seperti lebuh raya, pusat data dan ekonomi digital. Selain itu, ia turut merangkumi pertumbuhan ekonomi domestik melalui fokus kepada perniagaan teras seperti hartanah dan penjagaan kesihatan."Dalam masa sama, penyelesaian isu tanah terbiar (land bank) juga penting melalui pembangunan semula kepada infrastruktur baharu yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara," katanya.Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Centre for Market Education, Alvin Desfiandi menyarankan Sunway mendapatkan komitmen awal pemegang saham utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum melancarkan sebarang tawaran pengambilalihan bagi mengelakkan kegagalan berulang."Sebarang percubaan kedua tanpa penjajaran awal dengan pemegang saham utama berisiko mencetuskan kegagalan secara terbuka. Justeru, pendekatan lebih tersusun termasuk meningkatkan komponen tunai serta nilai tawaran keseluruhan perlu dipertimbangkan dalam rundingan."Faktor masa kini semakin kritikal memandangkan IJM Corporation Berhad mempunyai fleksibiliti untuk meneroka pelbagai pilihan strategik lain termasuk penyenaraian unit pembinaan, pelupusan aset di India serta kemungkinan menyuntik lebuh raya tempatan ke dalam dana amanah," jelasnya.Menurutnya, sekiranya langkah-langkah tersebut mula dilaksanakan, kedudukan rundingan Sunway dijangka menjadi lebih mencabar susulan nilai strategik IJM yang semakin menonjol sebagai entiti berdiri sendiri."Mengulas reaksi pasaran, impak daripada kegagalan urus niaga itu dilihat sederhana kerana jangkaan tersebut telah pun diambil kira oleh pelabur lebih awal."Pergerakan harga saham bagi kedua-dua syarikat juga menunjukkan sentimen bercampur tanpa tekanan ketara dalam jangka pendek. Situasi itu meningkatkan tekanan kepada IJM untuk membuktikan nilai syarikat secara berdiri sendiri kepada pasaran," ujarnya.Beliau berkata, dari sudut kecekapan ekonomi, langkah tersebut berpotensi memberi kesan positif sekiranya IJM berjaya memisahkan atau memonetisasi perniagaan yang sebelum ini dinilai rendah dalam struktur konglomerat."Tindakan itu boleh mengurangkan diskaun konglomerat, memperbaiki penemuan harga serta membolehkan modal disalurkan semula ke dalam segmen perniagaan yang menawarkan pulangan lebih jelas dan tinggi."Bagaimanapun, aspek pelaksanaan perlu diberi perhatian serius kerana tekanan yang wujud bukan sahaja boleh menjadi pemangkin malah berisiko mendorong pengurusan membuat keputusan monetisasi secara tergesa-gesa," katanya.INFO - 4 faktor penentu kejayaan percubaan kedua Sunway:1. Tingkatkan komponen tunai melebihi 10 peratus2. Dapatkan sokongan awal pemegang saham utama (GLIC) sekurang-kurangnya 50 peratus3. Tawar nisbah pertukaran saham lebih kompetitif4. Bertindak pantas sebelum nilai IJM meningkat
Go to News Site