Sinar Harian
BATU PAHAT – Seramai 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di beberapa premis perniagaan dan kediaman di daerah ini, Selasa lalu.Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bermula jam 8 malam itu membabitkan Ops Sapu, Ops Selera, Ops Minyak dan Ops Ajar.Jelas beliau, operasi dilaksanakan oleh pegawai Bahagian Penguatkuasaan cawangan Batu Pahat dengan sasaran premis yang dipercayai menggaji serta melindungi warga asing tanpa dokumen sah."Sebanyak 11 premis diserbu terdiri daripada kedai makan, kedai tayar dan dua unit kediaman."Hasil pemeriksaan, warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan, terdiri daripada tujuh lelaki Bangladesh, dua lelaki Nepal, tiga lelaki Myanmar, dua lelaki Indonesia, selain seorang wanita Vietnam, lima wanita Myanmar, seorang wanita Bangladesh, seorang wanita Indonesia dan dua wanita Kemboja."Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.Dalam operasi sama, enam Borang 29, iaitu saman kepada saksi, turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.Beliau menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap warga asing yang melanggar syarat pas, termasuk majikan dan individu yang melindungi serta menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
Go to News Site