Sinar Harian
PUTRAJAYA - Harga ubat meningkat dengan ketara sehingga 40 peratus susulan tekanan rantaian bekalan global akibat perang Asia Barat.Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan tersebut berkait rapat dengan faktor logistik, pengangkutan serta harga bahan api global yang terus meningkat."Pastinya harga ubat sudah pun mula meningkat dan kesan kenaikan kos itu telah dirasai dengan anggaran peningkatan sekitar 30 hingga 40 peratus ," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 di sini pada Jumaat.Beliau berkata, kenaikan lebih ketara melibatkan peranti perubatan yang mencatatkan lonjakan sehingga 100 peratus.Menurutnya, situasi itu berlaku berikutan tindakan pembekal menangguhkan penghantaran sejak Mac lalu, sekali gus memberi kesan kepada harga pasaran."Harga peranti perubatan lebih tinggi, ada yang mencatatkan kenaikan sehingga 50 peratus dan ada mencecah 100 peratus," katanya.Meskipun begitu, beliau berkata, bekalan ubat-ubatan seluruh negara stabil untuk memenuhi keperluan sehingga Jun ini.Katanya, jaminan itu mengambil kira stok sedia ada di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) serta simpanan oleh pihak industri."Tiga bulan ini kita masih punya stok yang stabil dan mencukupi."Saya boleh kata begitu sebab bukan hanya di bawah fasiliti penyimpanan bekalan KKM, ada juga industri dan mereka juga ada 'stockpiling'," katanya.Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak panik atau bertindak menyimpan ubat secara berlebihan."Jangan terlalu panik. Kementerian ada pelbagai cara dan kita juga mengadakan libat urus dengan industri untuk tahu berapa bekalan yang mereka ada," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh kerjasama dengan pemain industri bagi memastikan data bekalan sentiasa dikongsi secara telus.Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan ubat-ubatan keperluan asas sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat.Sementara itu, ditanya mengenai kenaikan kos ubat-ubatan dan peranti perubatan, Dr Dzulkefly berkata, kerajaan sedang meneliti beberapa pendekatan bagi menangani tekanan kos yang semakin meningkat.Katanya, perbincangan melibatkan mekanisme seperti surcaj serta pemindahan kos sedang dilaksanakan bersama kementerian berkaitan."Kita telah pun mula membincangkan isu kenaikan ini sama ada melalui mekanisme surcaj, mekanisme pemindahan kos, sama ada pemindahan kos penuh atau sebahagian," jelas beliau.Menurutnya, keputusan berhubung langkah tersebut memerlukan penelitian menyeluruh bagi memastikan keseimbangan antara kelangsungan industri dan keupayaan sistem kesihatan.Dr Dzulkefly menegaskan, KKM akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas walaupun berdepan tekanan kos.
Go to News Site