Sinar Harian
PUTRAJAYA – Masalah pendengaran dalam kalangan rakyat Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila dianggarkan satu daripada lima individu atau 21.5 peratus penduduk negara mengalami gangguan pendengaran, sekali gus meletakkan isu berkenaan sebagai antara cabaran utama kesihatan awam negara.Berucap pada Sambutan Hari Pendengaran 2026, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh aspek saringan awal, intervensi serta kesedaran masyarakat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius pada masa akan datang.Beliau berkata, berdasarkan data terkini, hampir 44,000 kes gangguan pendengaran telah direkodkan sehingga tahun 2025 menerusi National Otorhinolaryngology Registry."Daripada jumlah itu, beban tertinggi dikesan dalam kalangan dewasa dan warga emas iaitu sebanyak 86.4 peratus," katanya di sini pada Jumaat.Menurut beliau, situasi itu tidak boleh dipandang ringan kerana gangguan pendengaran memberi kesan langsung terhadap kualiti hidup, komunikasi sosial serta produktiviti individu."Isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh merangkumi pencegahan, pengesanan awal dan rawatan segera," jelas Dzulkefly.Beliau berkata, Malaysia komited memperkukuh agenda Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) serta reformasi kesihatan MADANI bagi memastikan akses kesihatan yang lebih adil dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan tiada kumpulan tercicir daripada menerima rawatan berkaitan masalah pendengaran, khususnya golongan berisiko tinggi.Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa peningkatan kes juga dipengaruhi faktor penuaan penduduk, selain pendedahan kepada bunyi bising dalam jangka masa panjang.Katanya, antara punca utama termasuk jangkitan, faktor genetik serta pendedahan kepada bunyi berlebihan sama ada di tempat kerja mahupun gaya hidup harian."Kesedaran masyarakat masih perlu dipertingkatkan kerana ramai hanya mendapatkan rawatan apabila keadaan sudah berada pada tahap serius," katanya.Dzulkefly berkata, keadaan itu sekali gus menyukarkan rawatan pemulihan sepenuhnya, khususnya apabila kerosakan saraf pendengaran telah berlaku.Beliau menambah, walaupun teknologi perubatan semakin maju, pencegahan awal kekal sebagai langkah paling berkesan dalam menangani masalah berkenaan.Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya lebih peka terhadap tanda awal gangguan pendengaran termasuk kesukaran mendengar perbualan dalam suasana bising atau keperluan meningkatkan volum peranti secara berlebihan.Dalam masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memperluas program saringan bayi baharu lahir serta intervensi awal bagi memastikan masalah pendengaran dapat dikesan sejak peringkat awal kehidupan.Usaha berkenaan penting bagi mengelakkan kanak-kanak berdepan masalah perkembangan pertuturan dan pembelajaran akibat gangguan pendengaran yang tidak dirawat.Beliau menegaskan, kerjasama semua pihak termasuk masyarakat, majikan dan institusi kesihatan amat penting dalam menangani isu itu secara berkesan."Sehingga Februari 2026, seramai 50,413 individu berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) pendengaran. Kepada para pesakit dan pekerja yang hadir, ketahuilah hak anda. Kerosakan saraf pendengaran akibat bising industri adalah kekal, namun ia 100 peratus boleh dicegah."Pendengaran adalah nikmat besar yang perlu dipelihara. Jika lewat bertindak, kesannya mungkin kekal sepanjang hayat," katanya.
Go to News Site