Collector
Tokong tertera kalimah ALLAH sudah dirobohkan pagi tadi | Collector
Tokong tertera kalimah ALLAH sudah dirobohkan pagi tadi
Sinar Harian

Tokong tertera kalimah ALLAH sudah dirobohkan pagi tadi

JASIN – Sebuah tokong yang tertera kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim di Persisiran Pantai Siring di sini selesai dirobohkan pada pagi Jumaat sejurus kerja pengosongan peralatan penyembahan dilakukan.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, tindakan itu dilakukan selepas mencapai kata sepakat antara pemilik tanah dan agensi terlibat."Seperti yang dijanjikan semalam, bahan-bahan suci bagi penganut agama lain perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum kita melaksanakan proses perobohan."Hari ini kita dapat menyaksikan sendiri semua bahan berkenaan telah dikeluarkan oleh pemilik tanah dan pemilik bangunan sebelum kerja-kerja perobohan dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi pada Jumaat.Kerja perobohan yang mengambil masa kira-kira 30 minit itu dijalankan sekitar jam 10 pagi menggunakan jentolak.Sementara itu, Zaidi berharap garis panduan berkaitan pencerobohan tapak ibadat tidak sah dapat diperkemaskan bagi mengelakkan isu sama berulang.Katanya, pengalaman lalu dalam mengiktiraf sebuah tapak ibadat bukan Islam yang sah boleh dijadikan rujukan dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert memaklumkan, usaha mengesan seorang lelaki kurang siuman dikenali sebagai ‘Ucuk’ sedang dilakukan bagi membantu siasatan kes tersebut.Maklumat awal daripada penduduk kampung memaklumkan mereka pernah melihat individu itu yang merupakan bekas pelajar tahfiz, menconteng tembok serta tiang elektrik dengan tulisan kalimah ALLAH.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 295, Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan penemuan binaan tokong batu yang tertera kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim dalam tulisan jawi di lokasi berkenaan oleh pemancing yang kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa pada malam Rabu.Kerja perobohan sepatutnya dilaksanakan pada Khamis, namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada pemilik tokong berkenaan melakukan pengosongan.

Go to News Site