Sinar Harian
GEORGE TOWN - Polis berjaya menumpaskan sindiket samun berkumpulan bersenjatakan parang selepas menahan 11 warga asing dalam beberapa serbuan di Chemor, Perak dan Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang.Kesemua suspek ditahan dalam Op Rantau Kongsi yang dijalankan selama dua hari bermula Khamis.Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita berusia antara 22 hingga 38 tahun.Menurutnya, hasil serbuan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang turut menemui pelbagai barangan dipercayai milik mangsa termasuk barang kemas, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM2,770."Turut dirampas beberapa senjata dipercayai digunakan dalam kejadian termasuk parang, pisau dan pengikat kabel," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, modus operandi kumpulan berkenaan adalah menyasarkan warga asing yang tinggal di tapak penginapan sekitar tanah besar."Kumpulan ini akan melakukan samun menggunakan senjata serta mengikat mangsa menggunakan pengikat kabel."Sindiket ini juga dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun yang dilaporkan berlaku pada 9 April 2025 kira-kira jam 1.30 pagi di Seberang Perai Selatan (SPS) dengan anggaran kerugian kira-kira RM35,000 melibatkan barang kemas, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai," ujarnya.Azizee berkata, dengan penahanan kesemua suspek, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun berkumpulan melibatkan satu kes di Seberang Perai Utara, dua kes di SPT dan dua kes di SPS."Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan."Semakan rekod mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan imigresen manakala yang lain tiada rekod jenayah lampau. Ujian saringan awal air kencing terhadap semua tangkapan didapati negatif," katanya.Beliau berkata, kesemua suspek telah direman tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan.
Go to News Site