Sinar Harian
PUTRAJAYA - Jenazah bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun petang tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini malam ini.Van yang membawa jenazah Mohd Hashim tiba di tanah perkuburan pada jam 9.30 malam.Urusan pengebumian beliau dihadiri kira-kira 150 orang termasuk ahli keluarga, warga SPR dan kenalan.Terdahulu, Allahyarham dibawa ke Surau al-Mizan Presint 8 untuk urusan solat jenazah dipimpin oleh anak sulungnya, Arif Izwan, yang disertai lebih 100 jemaah.Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Othman Mahmood dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.Mohd Hashim, yang juga anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara akibat komplikasi kesihatan.Bernama melaporkan Allahyarham mengalami serangan jantung pada Selasa lepas sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya.Beliau kemudian dirujuk ke IJN jam 10 pagi tadi namun semasa dalam perjalanan, Mohd Hashim sekali lagi mengalami serangan jantung dan diberi bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 2 petang.Allahyarham yang meninggalkan empat cahaya mata dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 24 Januari 2016 dan menamatkan perkhidmatan pada 1 Julai 2018.Antara jawatan yang pernah disandang Mohd Hashim ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Belia dan Sukan, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar serta Timbalan Ketua Setiausaha (Usahawan) di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dari 11 November 2010 hingga bersara wajib pada 31 Ogos 2014. - Bernama
Go to News Site