Sinar Harian
SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk menarik keluar pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) dari selatan Lubnan disifatkan sebagai langkah tepat dan relevan dengan situasi konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.Penganalisis pertahanan, Zaki Salleh berkata, keadaan peperangan berterusan di kawasan berkenaan dilihat meningkatkan risiko keselamatan anggota yang terlibat dalam misi pengaman."Selain itu, tempoh penugasan misi di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) itu dijangka berakhir pada hujung tahun ini."Rakyat perlu faham peranan anggota pengaman ini bersifat defensif dan bukan untuk bertempur. Malah, kemampuan mereka juga terhad."Sebab itu, dengan keadaan semasa yang tidak menentu ini, kerajaan perlu melaksanakan langkah sesuai yang mengutamakan keselamatan anggota negara kita," katanya kepada Sinar Harian.Keadaan semasa di Lubnan menyaksikan beberapa insiden pertemuan tidak dirancang antara anggota MALBATT dan pihak lain termasuk pasukan Israel Defense Forces (IDF).Ketika ini, lebih 500 anggota MALBATT ditempatkan di Lubnan sebagai sebahagian daripada misi pengaman antarabangsa.Menurut Zaki, meskipun pasukan pengaman Malaysia beroperasi di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), faktor keselamatan tetap perlu menjadi keutamaan dalam sebarang keputusan yang diambil kerajaan."Negara penyumbang seperti Malaysia sebenarnya mempunyai hak untuk menarik balik penglibatan pasukan mereka sekiranya situasi keselamatan di kawasan operasi semakin meruncing."Rakyat Malaysia juga perlu diberi gambaran jelas tentang risiko yang dihadapi anggota di sana supaya bersedia menerima sebarang kemungkinan, termasuk kecederaan atau kehilangan nyawa."Walaupun perkara ini jarang diketengahkan secara terbuka bagi mengelakkan kebimbangan, ia merupakan realiti sebenar misi pengaman," kata beliau.
Go to News Site