Collector
Kerajaan perlu semak semula sistem subsidi bahan api - Pakar | Collector
Kerajaan perlu semak semula sistem subsidi bahan api - Pakar
Sinar Harian

Kerajaan perlu semak semula sistem subsidi bahan api - Pakar

SHAH ALAM - Tiada keperluan untuk Malaysia mengikuti jejak langkah Thailand sepenuhnya dalam mengguna pakai formula bagi menentukan harga bahan api selepas negara itu berjaya menurunkan diesel sebanyak 2.14 baht (RM0.27) seliter.Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, perkara yang lebih mustahak untuk dipertimbangkan ketika ini adalah kerajaan menyemak semula sistem subsidi bahan api tersebut.Bagi mencapai matlamat itu, pakar ekonomi tersebut berpandangan, saranan terbaik adalah kerajaan menimbang tara pengagihan subsidi antara petrol dan diesel."Boleh lihat cara Thailand tapi mesti sesuai dengan Malaysia. Pada saya, kerajaan perlu semak semula skim subsidi, bukan hapuskan tetapi semak semula. Pertama, pengagihan subsidi antara petrol RON95 dan diesel supaya RON95 naik sedikit, manakala diesel turun sedikit."Maksudnya, kedua-duanya mesti diberi subsidi tapi harga diselaras semula. Kita tidak boleh tumpukan sebahagian besar subsidi kepada RON95 sahaja sedangkan untuk diesel melambung-lambung harganya."Kita harus faham bahawa bagi sektor perniagaan, mereka adalah 'diesel dependent' manakala golongan isi rumah, 'petrol dependent'. Bagi saya, mereka wajar dibantu mengikut kadar yang sesuai," katanya kepada Sinar Harian.Menurut Noor Azlan, ketiga-tiga pihak iaitu kerajaan, isi rumah dan firma atau perniagaan perlu menyerap sebahagian daripada kenaikan harga minyak global dengan meningkatkan subsidi.Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan jumlah subsidi kali ini perlu memastikan harga bahan api tidak melambung tinggi atau mengalami jurang perbezaan yang besar seperti sekarang.Kedua, Noor Azlan mencadangkan supaya kerajaan menyemak semula kriteria penerima subsidi berikutan kaedah bersasar terutamanya RON95 hanya membezakan antara warganegara dan bukan warganegara.Pada hemat beliau, keperluan semakan semula amat penting supaya agihan subsidi tidak terlalu besar, namun ia menepati semangat untuk membantu golongan memerlukan."Kriteria itu mungkin boleh bersandarkan kepada keperluan seperti tahap pendapatan penerima subsidi. Bagi kategori firma juga perlu diperluaskan dengan melihat kepada penggunaan diesel yang bukan sahaja untuk pengangkutan tetapi sebagai bahan api bagi tujuan pengoperasian perkilangan, enjin dan sebagainya."Gunakan data sedia ada seperti Pangkalan Data Utama (PADU), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan program Budi Madani (BUDI95) untuk tentukan kriteria. Subsidi ialah bantuan kerajaan kepada yang jelas memerlukan."Justeru, jumlah subsidi boleh dikawal lebih baik dengan cara begini. Kumpulan sasar dapat dibantu dan tanggungjawab untuk menyerap kenaikan harga global mampu dibuat," ujarnya.Noor Azlan berpendapat bahawa sekiranya tiada perubahan dibuat segera, semakin besar subsidi yang perlu ditanggung kerajaan dalam mendepani peningkatan harga minyak global.Beliau tidak menafikan wujud persoalan tentang bagaimana kerajaan mahu mengimbangi antara matlamat membantu rakyat dalam masa terdekat serta memastikan negara dapat terus membangun untuk jangka panjang."Jadi, kerajaan mesti bertindak rasional. Saya faham kerajaan pun ada had untuk keluarkan subsidi. Sekarang ini dianggarkan RM4 bilion sebulan dan jika berlanjutan setahun, RM48 bilion."Itu sudah menghampiri separuh daripada perbelanjaan pembangunan (DE). Kalau nak meminjam lagi, kita telah mencapai tahap hutang yang agak tinggi."Defisit fiskal baru sahaja menurun sekitar empat peratus. Adakah kita nak tambah lagi? Negara juga perlu bersedia berdepan sebarang kemungkinan pada masa akan datang. Kesimpulannya, sistem subsidi hari ini mesti disemak semula," tegas beliau.Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyarankan supaya kerajaan melihat semula formula digunakan oleh Thailand untuk menentukan harga minyak selepas negara itu berjaya menurunkan harga diesel bermula Khamis.Dr Muhamad Akmal berkata, tindakan Thailand itu seiring dengan harga minyak dunia, namun di Malaysia berlaku sebaliknya.

Go to News Site