Sinar Harian
SHAH ALAM – Pengalaman mengendalikan ribuan kes kecemasan sepanjang perkhidmatan merupakan antara cabaran terbesar yang membentuk ketahanan mental dan fizikal seorang pegawai serta anggota bomba dalam melaksanakan tugas.Penolong Pesuruhjaya Bomba Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Mohd Sani Harul berkata, tempoh paling mencabar adalah ketika beliau memegang jawatan Penolong Pengarah Operasi Negeri di Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dari 2011 hingga 2017."Sepanjang tempoh itu, saya bertanggungjawab merancang dan mengetuai operasi pemadaman kebakaran serta penyelamatan di negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi di negara ini."Cabaran utama adalah mengurus lebih 19,000 kes setahun yang memerlukan keputusan pantas, koordinasi cekap dan tahap ketahanan mental serta fizikal yang tinggi," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.Mengimbau permulaan kerjaya, Mohd Sani berkata, minatnya terhadap profesion bomba bermula pada awal 1990-an selepas menamatkan pengajian di Institut Teknologi Mara (ITM)."Saya memohon beberapa jawatan melalui iklan akhbar dan tertarik dengan kerjaya bomba kerana sifatnya yang mencabar serta dihormati."Dorongan untuk membantu masyarakat, khususnya ketika berlakunya kecemasan menjadi faktor utama saya memilih bidang ini," katanya.Beliau mula berkhidmat pada 16 November 1991 dan kini menghampiri usia persaraan selepas 35 tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia."Sepanjang tempoh itu, saya terlibat dalam pelbagai insiden berisiko tinggi seperti kebakaran kilang melibatkan letupan dan bahan berbahaya, kebakaran rumah yang meragut nyawa, nahas pesawat, kebakaran kapal, runtuhan bangunan serta jejambat," katanya.Kepentingan SOPBapa kepada lima anak itu berkata, risiko terbesar yang dihadapi anggota bomba ketika operasi adalah ancaman terhadap keselamatan diri termasuk terdedah kepada haba melampau, asap beracun, runtuhan struktur serta letupan tidak dijangka."Operasi di lokasi berisiko tinggi seperti tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan insiden di air turut meningkatkan tahap bahaya," katanya.Mengulas aspek kawalan emosi, Mohd Sani berkata, ketenangan ketika berdepan situasi cemas banyak bergantung kepada latihan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan."Fokus utama adalah menyelamatkan nyawa dan memastikan keselamatan pasukan dengan mengekalkan disiplin serta komunikasi yang jelas sepanjang operasi," katanya.Dalam setiap operasi, beliau menegaskan, kepentingan pematuhan SOP termasuk penilaian awal situasi, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) dan pelaksanaan strategi pemadaman berdasarkan konsep RECEO yang merangkumi penyelamatan, perlindungan, pengawalan, pemadaman serta pemeriksaan semula."Selain itu, kawalan zon operasi dan komunikasi berkesan antara anggota serta pusat kawalan turut menjadi elemen penting bagi memastikan kelancaran tugas," katanya.Sepanjang perkhidmatan, beliau bersyukur tidak pernah berdepan situasi yang hampir meragut nyawa walaupun sering terlibat dalam operasi berisiko tinggi."Latihan intensif membantu meningkatkan kecekapan fizikal, ketahanan mental serta keupayaan membuat keputusan dalam tekanan," katanya.Menurutnya, tugas bomba bukan sekadar memadam kebakaran, sebaliknya merangkumi penyelamatan kecemasan, bantuan perubatan awal, pencegahan kebakaran, pengurusan bencana dan penguatkuasaan undang-undang keselamatan.Dalam pada itu, anak bongsu daripada enam beradik itu mengakui, sokongan keluarga menjadi tunjang penting dalam memastikan beliau kekal fokus dan bersemangat sepanjang menjalankan tugas."Kerjaya ini memerlukan masa yang panjang termasuk operasi kecemasan pada bila- bila masa. Tanpa sokongan keluarga, sukar untuk mengekalkan semangat," ujarnya.Kata anak jati Perak itu, antara pengalaman yang memberi kesan mendalam adalah insiden menyelamatkan mangsa kemalangan ketika bercuti di Cameron Highlands."Saya membantu mengeluarkan dua mangsa dari kenderaan yang terjatuh ke dalam gaung, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia," katanya.Mengulas mengenai perkembangan teknologi, ujarnya, penggunaan jentera moden, helikopter, kamera termal, dron, sistem GPS serta robot banyak membantu meningkatkan keberkesanan operasi bomba masa kini.Dalam aspek keseimbangan kerjaya dan kehidupan, beliau menekankan kepentingan perancangan masa yang baik."Keutamaan sentiasa diberikan kepada tugas terutama ketika melibatkan operasi kecemasan, namun perancangan rapi membolehkan tanggungjawab peribadi tetap dipenuhi," katanya.Beliau menyifatkan momen paling membanggakan adalah apabila dapat membantu masyarakat ketika bencana.Jelasnya, generasi muda yang berminat menyertai pasukan bomba perlu mempunyai semangat dan dedikasi yang tinggi, selain menjaga kecergasan fizikal dan mental."Kepuasan sebenar dalam kerjaya bomba ialah menyelamatkan nyawa dan membantu saat mereka memerlukan," katanya.
Go to News Site