Collector
Piala Dunia 2026: Satu lagi keputusan ‘bencana’ FIFA | Collector
Piala Dunia 2026: Satu lagi keputusan ‘bencana’ FIFA
Sinar Harian

Piala Dunia 2026: Satu lagi keputusan ‘bencana’ FIFA

KRITIKAN hebat kini menghujani Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjelang saingan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.Badan induk itu didakwa lebih mengutamakan keuntungan berbanding kepentingan sukan bola sepak selepas memperkenalkan kategori tiket baharu dengan harga yang dianggap melampau.Langkah FIFA memperkenalkan kategori tiket lebih mahal itu mencetuskan kemarahan peminat di seluruh dunia, memandangkan beberapa tempat duduk kini mencecah harga tertinggi dalam sejarah kejohanan.Sebagai contoh, kategori baharu iaitu ‘Front Row 1’ bagi perlawanan pembukaan melibatkan Amerika Syarikat menentang Paraguay di Englewood pada 12 Jun 2026, diletakkan pada harga AS$4,105 (RM16,276).Sebelum perubahan ini diperkenalkan, harga tiket Kategori 1 tidak pernah melebihi paras AS$2,735 (kira-kira RM10,844).Malah, tanpa sebarang pengumuman rasmi, kategori kedua iaitu "Front Row 2" turut muncul dengan harga antara AS$1,940 hingga AS$1,940 hingga AS$2,330 untuk perlawanan yang sama.Piala Dunia 2026 dijadualkan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai merentasi 16 bandar raya tuan rumah, sekali gus menjadi edisi pertama yang melibatkan 48 pasukan dengan keseluruhan 104 perlawanan.Berdasarkan dokumen produk dan kategori tiket FIFA bertarikh 9 September lalu, Kategori satu sepatutnya menjadi kategori harga tertinggi di aras bawah stadium, manakala Kategori dua meliputi tempat duduk di aras bawah dan atas di luar skop Kategori satu.Bagaimanapun, pengenalan kategori 'Front Row' ini menunjukkan FIFA telah mengasingkan tempat duduk premium tambahan di luar struktur asal, sekali gus mengundang kecaman terhadap model harga yang dikemas kini itu.Hingga kini, pejabat media FIFA dilaporkan masih belum memberikan sebarang ulasan rasmi berhubung kenaikan drastik tersebut.Kenaikan harga ini bukan sahaja melibatkan perlawanan peringkat kumpulan, malah turut menghimpit peminat yang ingin menyaksikan perlawanan akhir.Bagi aksi final di Stadium MetLife pada 19 Julai, tiket kategori tertinggi melonjak daripada AS$8,680 kepada AS$10,990 (kira-kira RM43,575).Tiket Kategori 2 pula kini berharga AS$7,380(RM29,261) berbanding AS$5,575 (RM22,104) sebelum ini.Walaupun harga melambung tinggi, laman web rasmi FIFA melaporkan bahawa semua tiket untuk perlawanan akhir telah habis terjual pada Khamis lalu.Kenaikan tersebut mengundang kemarahan peminat, terutama selepas gangguan teknikal yang berlaku minggu lalu sehingga menjejaskan proses penjualan semula tiket.Sebelum ini, Presiden FIFA, Gianni Infantino meramalkan tiket akan habis dijual bagi setiap perlawanan berdasarkan sambutan luar biasa peminat global.Sebagai usaha meredakan kritikan, FIFA ada memperkenalkan kategori "Fan Zone" yang lebih mampu milik pada Disember lalu, namun ia tetap tidak mengubah hakikat bahawa Piala Dunia kali ini mencatatkan harga tiket paling mahal dalam sejarah.

Go to News Site