Collector
Amanah ingatkan Akmal jangan keliru 'mainan' politik isu harga minyak | Collector
Amanah ingatkan Akmal jangan keliru 'mainan' politik isu harga minyak
Sinar Harian

Amanah ingatkan Akmal jangan keliru 'mainan' politik isu harga minyak

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) mengingatkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh, agar tidak terkeliru dengan ‘mainan’ politik pembangkang berhubung isu harga minyak tempatan.Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, tindakan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, yang memberikan kenyataan mengelirukan adalah dikesali ketika Kerajaan Madani sedang berusaha menampan kesan ketidaktentuan harga minyak mentah dunia.Muhammad Faiz menjelaskan, dakwaan bahawa harga minyak di Malaysia tidak menurun selari dengan trend global adalah tidak tepat kerana penetapan harga runcit dibuat berdasarkan purata harga minggu sebelumnya menerusi Mekanisme Harga Automatik (APM)."Walaupun terdapat sedikit sela masa atau lag effect, rakyat tetap menikmati manfaat daripada trend penurunan harga tersebut."Sistem APM juga berfungsi melindungi pengguna serta pengusaha stesen minyak daripada turun naik harga yang mendadak," ujarnya dalam satu kenyataan.Beliau mengulas laporan mengenai Dr Akmal yang dilaporkan senada dengan Ahmad Fadhli dalam mempersoalkan kemampuan Thailand menurunkan harga petrol dan diesel baru-baru ini.Mengulas perbandingan itu, Muhammad Faiz berkata, langkah Thailand menurunkan harga adalah hasil pelarasan semula formula yang sebelum ini mungkin lebih tinggi daripada kos sebenar, termasuk melibatkan caj pengangkutan dan insurans.Ujarnya, perkara itu gagal diperhalusi pembangkang yang lebih dipengaruhi sentimen berbanding fakta, malah tidak mengambil kira perbezaan ketara harga minyak antara Malaysia dan negara jiran berkenaan.Dalam pada itu, beliau menegaskan kritikan Abdul Hadi mengenai harga diesel lebih rendah di Sabah dan Sarawak menunjukkan kegagalan memahami realiti geoekonomi di Malaysia Timur.Menurutnya, faktor geografi yang luas serta kekangan infrastruktur menjadikan penggunaan kenderaan diesel sebagai keperluan asas di kedua-dua negeri berkenaan.Beliau berkata, kerajaan turut memastikan kebajikan kumpulan sasar terus terpelihara, termasuk mengekalkan subsidi diesel nelayan pada harga RM1.65 seliter dengan kuota 70 juta liter sebulan.Selain itu, ujarnya, sebahagian rakyat masih dilindungi melalui pelaksanaan bantuan bersasar seperti program BUDI.Muhammad Faiz berkata, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terus menunjukkan keprihatinan dengan tidak mengapungkan sepenuhnya harga diesel walaupun berdepan krisis di Asia Barat."Kerajaan juga telah menyerap sebahagian kos sebenar pasaran selama lima minggu berturut-turut."Kesannya, harga minyak di Malaysia kekal lebih rendah berbanding negara serantau lain, sekali gus mencerminkan disiplin fiskal kerajaan yang wajar dinilai secara adil," ujarnya lagi.

Go to News Site