Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Kementerian Pengangkutan mengekalkan tindakan kompaun sebanyak RM100,000 terhadap Rapid Rail Sdn Bhd (RRSB) susulan kegagalan menyelenggara sistem pengangkutan awam sehingga mengakibatkan kecederaan penumpang dalam insiden pada 24 Mei 2021.APAD memaklumkan, tindakan itu diambil susulan insiden pertembungan tren berkenaan yang disabitkan di bawah Seksyen 101(10) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715)."Kegagalan RRSB memastikan jajaran rel berada dalam keadaan selamat untuk operasi telah menyebabkan komponen ‘limb rail’ tidak dapat dibaca di kedua-dua arah."Keadaan itu mengakibatkan tren gagal dikendalikan dengan selamat sehingga berlaku insiden membabitkan 213 penumpang, dengan 65 daripadanya mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.APAD menegaskan, keselamatan operasi pengangkutan awam darat merupakan keutamaan tertinggi dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan."Penguatkuasaan ini bukan sahaja bertujuan memastikan pematuhan undang-undang, malah menjadi peringatan tegas kepada semua pengendali perkhidmatan rel agar sentiasa melaksanakan penyelenggaraan mengikut piawaian teknikal ditetapkan."Selain itu, latihan mencukupi kepada kakitangan juga perlu diberi perhatian bagi menjamin operasi yang selamat," kata kenyataan itu.Tambah kenyataan itu, keputusan mengenakan kompaun berkenaan turut mengambil kira kepentingan awam serta prinsip akauntabiliti bagi memastikan integriti sistem pengangkutan rel negara terus terpelihara.Sementara itu, APAD memaklumkan akan terus memperkukuh pemantauan serta aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan setiap pengendali mematuhi sepenuhnya keperluan perundangan, operasi dan standard keselamatan yang ditetapkan.Media sebelum ini melaporkan, seramai 65 penumpang termasuk enam warga asing cedera dalam kejadian pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) dari arah Gombak dan Kelana Jaya.Kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu berlaku di antara stesen Kampung Baru dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Go to News Site