Sinar Harian
TAIPING – "Kalau pejam mata, dia rasa macam doktor datang bawa api. Benda panas pun dia takut sekarang," ujar seorang bapa menceritakan trauma dialami anaknya selepas insiden menyayat hati pada minggu terakhir Ramadan lalu.Rintihan itu meruntun jiwa, apatah lagi diluahkan oleh seorang kanak-kanak perempuan yang tubuhnya masih berbalut akibat kecederaan melecur serius.Nur Kaisah Zahra Abdul Ghafar, 9, masih menerima rawatan di Hospital Taiping selepas mengalami kecederaan melecur serius apabila tubuhnya disambar api, dipercayai berpunca daripada percikan petrol ketika bermain bersama rakan-rakan di Parit Haji Taib 2 pada 15 Mac lalu.Anak sulung daripada dua beradik itu mengalami lecur 40 peratus pada bahagian badan melibatkan dari dada hingga ke kaki, sekali gus memerlukan rawatan intensif dan beberapa siri pembedahan.Bapanya, Abdul Ghafar Masran, 50, berkata, setakat ini anaknya telah menjalani dua pembedahan termasuk prosedur tampalan kulit bagi merawat bahagian yang terjejas.Menurutnya, pembedahan kedua yang berlangsung kira-kira lima jam pada Rabu itu melibatkan pengambilan kulit dari bahagian belakang badan dan perut untuk ditampal pada kaki kiri serta punggung mangsa."Keputusan lanjut hanya akan diketahui Isnin ini apabila doktor membuka balutan untuk menilai perkembangan rawatan tersebut," katanya kepada Sinar Harian.Abdul Ghafar yang bekerja sebagai operator mesin di sebuah kilang berkata, kemungkinan satu lagi pembedahan akan dilakukan pada Mei depan bagi merawat bahagian lain yang masih belum pulih sepenuhnya.Katanya, meskipun keadaan fizikal anaknya menunjukkan sedikit perkembangan positif dan sudah mula berselera makan, emosi Nur Kaisah masih belum stabil dan trauma dengan kejadian yang dialami."Dia ada tengok keadaan badannya dan tanya sama ada parut itu boleh hilang atau tidak. Saya cuba pujuk supaya dia tidak hilang semangat."Dia masih kecil, saya risau kalau dia terlalu sedih, dia jadi murung," katanya sebak.Tambahnya, sepanjang minggu pertama rawatan, anaknya juga mengalami trauma sehingga sukar melelapkan mata kerana sering terbayang kejadian tersebut.Abdul Ghafar berkata, pihak hospital ada merancang menyediakan khidmat kaunseling serta terapi trauma kepada Nur Kaisah bagi membantu memulihkan emosinya apabila keadaan fizikalnya semakin stabil."Doakan anak saya. Saya cuma nak tengok dia sembuh dan senyum seperti dulu," katanya.Menurutnya lagi, suasana Aidilfitri yang sepatutnya diraikan dengan kegembiraan bertukar pilu apabila Nur Kaisah tidak dapat memakai baju raya yang telah disediakan lebih awal."Dia ada tanya, raya macam mana nanti, tak boleh pakai baju raya ke," katanya.Dalam pada itu, Abdul Ghafar berkata, kos rawatan anaknya dianggarkan mencecah lebih RM50,000 termasuk beberapa pembedahan yang perlu dijalankan.Katanya, pembedahan pertama dibiayai menggunakan wang sendiri serta pinjaman keluarga, manakala pembedahan kedua pula menggunakan sumbangan orang ramai dengan kos keseluruhan sekitar RM36,000."Saya dan isteri kini bercuti tanpa gaji untuk menjaga anak di hospital."Alhamdulillah, baru-baru ini, saya menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM18,000. Dengan jumlah itu, bolehlah digunakan bagi menampung kos rawatan seterusnya," katanya.Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Abdul Ghafar di talian 016-9251245.
Go to News Site