Sinar Harian
KAMPAR – Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) yang akan bermula 15 April ini diyakini tidak menjejaskan produktiviti penjawat awam, sebaliknya mampu meningkatkan kecekapan melalui pemantauan dan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas.Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, tanggapan bahawa BDR memberi ruang untuk pekerja berehat tanpa kawalan adalah tidak tepat kerana sistem pemantauan rapi telah disediakan.Menurutnya, setiap penjawat awam yang melaksanakan BDR diwajibkan mematuhi KPI yang ditetapkan serta melaporkan kehadiran secara berkala menerusi aplikasi Spot Me yang dibangunkan Jabatan Digital Negara."BDR ini bukan ‘bangun, duduk dan rehat’. Kita telah tetapkan KPI yang perlu dicapai dan pemantauan dilakukan setiap jam melalui aplikasi."Jadi tiada isu dari segi kawalan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI serta Sambutan Hari Raya di Kampung Kota Bharu di sini pada Sabtu.Wan Ahmad Dahlan menjelaskan, pelaksanaan BDR juga disusun secara sistematik dengan hari tertentu ditetapkan bagi memastikan penyelia dapat memberi arahan kerja serta menilai hasil tugasan.Katanya, penjawat awam tidak dibenarkan melaksanakan BDR pada hari Isnin kerana hari tersebut digunakan untuk penyelarasan tugasan, manakala hari Jumaat pula diperuntukkan bagi semakan hasil kerja oleh penyelia."Yang penting dalam BDR adalah output. Selagi hasil kerja itu dicapai mengikut KPI, produktiviti tidak akan terjejas."Ini antara langkah kerajaan untuk membantu penjawat awam mengurangkan kos perbelanjaan harian, khususnya melibatkan penggunaan minyak," katanya.Beliau menegaskan elemen kepercayaan antara majikan dan pekerja menjadi faktor penting dalam memastikan pelaksanaan dasar itu berjaya.Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, pelaksanaan BDR juga bertujuan membantu mengurangkan penggunaan bahan api susulan peningkatan harga minyak global akibat konflik geopolitik semasa.Menurutnya, amalan BDR bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah dilaksanakan secara meluas oleh syarikat swasta serta negara seperti Singapura tanpa menimbulkan sebarang isu besar.Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan terus berusaha mengekalkan tenaga kerja sektor kesihatan termasuk doktor pelatih melalui pelbagai inisiatif walaupun berdepan cabaran penghijrahan tenaga kerja ke luar negara.Katanya, selain faktor imbuhan, semangat nasionalisme dan komitmen untuk berkhidmat kepada negara perlu dipupuk dalam kalangan penjawat awam.
Go to News Site