Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian melibatkan kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Bentong, Pahang.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau amat berdukacita dengan pemergian anggota TDM, Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi.Menurutnya, kementerian memandang serius kejadian berkenaan."Sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh Angkatan Tentera Malaysia."Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata, kes berkenaan kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.Tambahnya, pihak kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya bagi semua pihak terbabit dan pihaknya sudah mengarahkan ATM supaya mengambil langkah pencegahan supaya insiden seperti ini tidak berulang.Media sebelum ini melaporkan Prebet Muhammad Amirul Raziq, 24, yang parah dipercayai dipukul dalam kejadian di Kem Tentera Batalion 25 RAMD, Bentong, Pahang, disahkan meninggal dunia selepas dua minggu menerima rawatan di hospital pada Sabtu.Mangsa difahamkan menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.Terdahulu, mangsa dilaporkan parah dipercayai dipukul suspek yang disyaki berpunca daripada ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan dalam kejadian pada 31 Mac lalu.Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar serta menumbuk di bahagian muka dan perut tujuh anggota di kem berkenaan.
Go to News Site