Sinar Harian
ISKANDAR PUTERI – Seramai 15 individu termasuk 13 remaja lelaki diberkas polis susulan kejadian pergaduhan di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai yang tular di media sosial.Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berkenaan berlaku pada kira-kira jam 12.45 tengah hari, Jumaat."Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bersama Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor menjalankan operasi tangkapan antara jam 3 petang hingga 11.11 malam hari sama."Seramai 15 suspek ditahan terdiri daripada 13 remaja lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia antara 12 hingga 37 tahun ditahan di kawasan Nusa Bestari dan sekitar Iskandar Puteri," katanya dalam kenyataan.Menurut beliau, siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus akibat rasa tidak puas hati selepas seorang daripada suspek dipercayai ditampar, sebelum situasi bertukar menjadi pergaduhan selepas waktu persekolahan."Permohonan reman terhadap dua wanita tempatan dibenarkan selama tiga hari bermula Sabtu."Manakala 13 remaja lelaki direman selama empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan lanjut," ujarnya.Video tular tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap insiden pergaduhan melibatkan pelajar sekolah di kawasan awam.Menerusi rakaman berkenaan, dua pelajar dilihat bergaduh di hadapan sebuah sekolah, disaksikan oleh orang awam serta pelajar lain yang berada di lokasi kejadian.
Go to News Site