Collector
'Tidak adil kata kerajaan tidak peduli' - Mat Sabu jawab dakwaan pesawah | Collector
'Tidak adil kata kerajaan tidak peduli' - Mat Sabu jawab dakwaan pesawah
Sinar Harian

'Tidak adil kata kerajaan tidak peduli' - Mat Sabu jawab dakwaan pesawah

SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tampil menjawab dakwaan kononnya kerajaan tidak mempedulikan nasib pesawah sejak harga bahan api dunia melonjak.Mohamad berkata, keutamaan kerajaan ketika ini jelas iaitu memastikan makanan asas sentiasa berada di atas meja rakyat.Atas dasar itu, kata beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) antara yang terawal dipanggil untuk membentangkan situasi bekalan, cadangan intervensi kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Beliau berpendapat bahawa sekurang-kurangnya rakyat mampu memperoleh keperluan asas seperti nasi, ayam, telur dan sayur-sayuran walau seteruk manapun krisis berlaku."Antara keputusan awal yang diluluskan adalah penambahan stok penimbal beras melibatkan dana tambahan lebih RM100 juta."Cadangan lain seperti 'fleet card' untuk jentera pertanian, tambahan kadar Insentif Pembajakan dan insentif Penuaian Padi, kuota diesel kepada vesel C2 serta bantuan 'one-off' kepada pekebun masih dalam penelitian kerana melibatkan komitmen kewangan yang besar."Jadi, tidak adil untuk mengatakan kerajaan tidak peduli. Permohonan telahpun diangkat selepas cuti Hari Raya Aidilfitri lagi. Namun dalam keadaan krisis, setiap sen perbelanjaan awam perlu diteliti dengan cermat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.Ahli Parlimen Kota Raja itu turut mengingatkan bahawa dalam Belanjawan 2026, subsektor padi dan beras menerima peruntukan sebanyak RM2.62 bilion merangkumi subsidi harga padi, subsidi baja, insentif benih padi sah serta pelbagai insentif pengeluaran.Jelas beliau, lebih 50 peratus daripada bajet pengurusan KPKM disalurkan kepada subsektor padi dan beras, menunjukkan komitmen besar terhadap kelangsungan kelompok tersebut."Namun, cabaran sebenar bukan sekadar jumlah bantuan, isunya adalah struktur industri yang lama tidak diperbaiki. Dahulu, Malaysia pernah mempunyai asas pertanian yang lebih kukuh."Apabila negara beralih kepada ekonomi perindustrian, sektor ini tidak lagi diberi penekanan yang sama menyebabkan saban tahun kebergantungan kepada import semakin meningkat."Sebab itu, bantuan semata-mata tidak mencukupi. Kita memerlukan perubahan menyeluruh penggunaan teknologi moden, pengurusan sawah berskala besar, sistem pengairan yang lebih cekap serta disiplin dalam rantaian bekalan."Langkah ke arah itu sudah pun bermula, tetapi hasilnya tidak datang serta-merta," ujarnya.Justeru, Mohamad berpandangan, tiada masalah untuk mengkritik kerana ia hak semua orang asalkan hujah dibuat berlandaskan fakta, bukan sentimen atau kepentingan politik sempit."Akhir sekali, dalam keadaan tekanan harga input pertanian dunia yang tidak dapat dielakkan, utamakanlah keperluan, hindari pembaziran dan elakkan pembelian panik," jelasnya lagi.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, golongan pesawah di seluruh negara semakin tertekan dan bersedia menghentikan penanaman padi sekiranya kerajaan tidak segera campur tangan menangani peningkatan kos operasi yang semakin membebankan kesan kenaikan harga diesel.Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, kos perkhidmatan membabitkan pembajakan dan penuaian kini meningkat lebih 50 peratus dan boleh mencecah 65 peratus apabila digabungkan dengan kos input pertanian seperti baja serta racun.Menurutnya, keadaan itu diburukkan lagi oleh faktor cuaca serta kenaikan harga bahan api yang memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran.Tambah Abdul Rashid, pesawah melahirkan kekesalan apabila sektor tanaman padi tidak disenaraikan dalam Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) versi 1.0 dan 2.0.Menurutnya, ketiadaan subsidi diesel memaksa pesawah membeli bahan api pada harga pasaran semasa sekitar RM6.72 seliter.

Go to News Site