Sinar Harian
SHAH ALAM - Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta perubahan terhadap pelan pengangkutan awam negara antara faktor yang menjejaskan keupayaan kerajaan menangani krisis tenaga.Pandangan itu disampaikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin dalam pertemuan di mahkamah, baru-baru ini.Menurut perkongsian Ketua UMNO Bahagian Langkawi itu, dua perkara utama yang pernah dilaksanakan itu sepatutnya dapat menjadi penampan kepada rakyat dalam menghadapi krisis bahan api.Menurut beliau, pelaksanaan GST sebelum ini bukan sahaja memperkukuh hasil kerajaan, malah membolehkan bantuan disalurkan secara terus kepada golongan memerlukan."Ketika GST dilaksanakan, kutipan awal mencecah RM20 bilion, jika ia diteruskan sehingga kini, tidak mustahil hasilnya boleh meningkat kepada RM60 hingga RM70 bilion."Dengan hasil itu, kerajaan tidak perlu terlalu bergantung kepada syarikat minyak untuk membantu rakyat, sebaliknya boleh menyalurkan bantuan secara terus dan lebih pantas," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.Mohd Nazifuddin berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini terbukti memberi impak besar kerana disalurkan terus ke akaun penerima."Waktu itu BR1M boleh sampai RM1,200 dan kalau ambil 30 peratus daripada GST itu salur bantuan kepada rakyat boleh dapat sehingga RM2,800."Ramai yang saya jumpa di Langkawi ada masih rindukan BR1M, bukan guna IC (MyKad) sebaliknya terus masuk akaun."Kalau ada krisis macam krisis minyak, GST itu menjadi 'buffer' untuk membantu rakyat, malangnya hendak dapatkan keadaan tu agak sukar," tambahnya lagi.Mohd Nazifuddin berkata, ayahnya turut berkongsi mengenai transformasi pengangkutan awam negara yang tidak dilaksanakan secara menyeluruh selepas pertukaran kerajaan.Tambah beliau, perancangan asal adalah untuk memastikan rakyat boleh menggunakan pengangkutan awam sepenuhnya dari rumah ke tempat kerja."Pelan lama sudah berubah kononnya boleh jimat wang, projek pengangkutan awam menjadi sekerat jalan sahaja."Sedar atau tidak ia menjadi kerugian kepada rakyat. Jika sistem itu dilaksanakan seperti dirancang dahulu, bolehlah kita menyarankan guna pengangkutan awam secara menyeluruh," katanya.Jelasnya, usaha membangunkan semula sistem itu agak mustahil dilaksanakan berikutan kos yang semakin tinggi.
Go to News Site