Collector
Bukan mudah PKR rampas Indera Mahkota - Mohd Tarmizi | Collector
Bukan mudah PKR rampas Indera Mahkota -  Mohd Tarmizi
Sinar Harian

Bukan mudah PKR rampas Indera Mahkota - Mohd Tarmizi

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang melihat hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk meletakkan Setiausaha Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi sebagai calon di Parlimen Indera Mahkota sebagai 'langkah berisiko' buat parti itu.Ketua Penerangannya, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, kedudukan PN di kerusi tersebut kekal teguh bersandarkan trend sokongan padu rakyat yang dilihat terus memihak kepada mereka.Menurutnya, kekuatan undi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti di Beserah akan menjadi 'undi bantu' yang sangat signifikan bagi menjamin kemenangan di peringkat Parlimen."Bukan satu perkara mudah untuk PKR merampas kerusi ini kerana kekuatan PN di sini masih tinggi. Kita yakin dapat mempertahankan Parlimen Indera Mahkota kerana sokongan terhadap PKR kini semakin merudum."Rakyat hari ini tidak lagi melihat PKR sebagai parti yang memperjuangkan hak mereka, sebaliknya dilihat gagal menangani tekanan kos sara hidup dan kebajikan rakyat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Farhan sebelum ini yang mengakui diamanahkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menawan semula Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).Mengulas lanjut, Mohd Tarmizi mempersoalkan kredibiliti Ahmad Farhan yang didakwa masih gagal menyelesaikan isu asas di kawasan tersebut walaupun memegang kedudukan penting di Putrajaya.Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADU) Panching itu, masalah infrastruktur termasuk jalan raya dan kebajikan penduduk masih belum diselesaikan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kemampuan calon berkenaan kelak."Jika sekarang sebagai Setiausaha Khas pun isu rakyat masih gagal diselesaikan, apa jaminan ia mampu diperbaiki selepas dipilih nanti? Rakyat hari ini menilai prestasi, bukannya sekadar jawatan," tegas beliau.Dalam pada itu, Mohd Tarmizi mendakwa, langkah PKR menampilkan calon di kawasan tersebut seolah-olah merendahkan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.Katanya, tindakan itu turut didakwa mencetuskan ketidakpuasan hati dan 'suara penolakan' dalam kalangan pimpinan UMNO di kawasan berkenaan."Saya difahamkan wujud penolakan dalam kalangan pimpinan UMNO kerana perkara ini didakwa tidak dibincangkan di peringkat kawasan. Ini menunjukkan wujud kelemahan dalam koordinasi mereka."Berbanding pihak lawan, jentera serta ADUN PN terus konsisten menyantuni masyarakat sebelum, semasa dan selepas pilihan raya walaupun dalam keadaan serba kekurangan serta tanpa peruntukan," ujarnya lagi.Pada PRU15, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota yang disandangnya dengan majoriti 8,399 undi serta menewaskan tiga pencabarnya daripada Pakatan Harapan, BN dan Pejuang.Saifuddin menyandang kerusi Parlimen Indera Mahkota sejak 2018, ketika bersama PKR dan kemudian mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Go to News Site