Collector
Polis sita lebih 100 motosikal mat rempit | Collector
Polis sita lebih 100 motosikal mat rempit
Sinar Harian

Polis sita lebih 100 motosikal mat rempit

KUALA KANGSAR – Polis menyita sebanyak 117 buah motosikal dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di jejambat Simpang Lawin, Jalan Kuala Kangsar–Gerik di sini pada malam Jumaat.Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, operasi bermula kira-kira jam 10 malam itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).Menurutnya, hasil risikan dan operasi berkenaan, seramai empat penunggang motosikal ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan menunggang secara melulu dan membahayakan."Selain itu, sebanyak 117 motosikal disita di bawah Seksyen 64 akta sama atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi."Sebanyak 252 saman dikeluarkan oleh polis manakala JPJ turut mengeluarkan 119 notis saman terhadap penunggang dan pemandu motosikal serta kereta atas pelbagai kesalahan lalu lintas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Heisham berkata, seramai 12 penunggang motosikal turut menjalani ujian air kencing dan mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.Katanya, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Kangsar.Dalam pada itu, Heisham menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat kegiatan samseng jalanan serta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras kegiatan tersebut.

Go to News Site