Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Aliran dana ke luar negara melebihi USD51.3 juta (kira-kira RM240 juta) dikesan susulan siasatan skandal urus niaga saham melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan.Perkembangan terbaharu itu menyusul susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluas siasatan terhadap modus operandi penyalahgunaan kedudukan dalam urusan penjualan saham melibatkan dana awam.Menurut sumber, siasatan mendapati individu berkenaan dipercayai mempunyai kawalan penuh dalam keseluruhan proses urus niaga berkenaan termasuk menetapkan terma dan harga pembelian saham."Individu terbabit juga bertindak sebagai pencadang dan pelulus dalam rundingan tertutup dengan pemegang saham minoriti, sekali gus mewujudkan situasi ‘absolute power’ dalam transaksi berkenaan."Siasatan awal turut menunjukkan elemen penerimaan rasuah dan pengubahan wang haram melalui pemindahan hasil transaksi ke entiti luar pesisir bagi menyembunyikan identiti penerima termasuk penggunaan akaun penama serta pemilik benefisial," katanya.Tambah sumber, sebahagian dana berkenaan dipercayai dilaburkan semula dalam syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia yang dianggarkan bernilai kira-kira RM30 juta.Menurutnya, langkah itu dipercayai bagi mengaburi aliran kewangan sebagai pelaburan sah."Siasatan turut mendapati aliran dana melibatkan enam akaun bank di Singapura dengan enam transaksi berjumlah lebih USD48 juta."Selain itu, terdapat satu transaksi sekitar USD3.3 juta di Labuan yang melibatkan dua pemilik benefisial syarikat yang menerima bayaran daripada dana awam," jelasnya.Dalam pada itu, dua akaun bank di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dipercayai milik bekas CEO berkenaan turut dikenal pasti melibatkan kira-kira USD10,000 dan AED37,000 (sekitar RM80,000).Sumber berkata, keseluruhan aliran dana luar negara itu dipercayai turut melibatkan syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Islands (BVI).Susulan perkembangan itu, tindakan pembekuan akaun turut diperluas apabila tambahan enam akaun individu bernilai kira-kira RM11 juta dibekukan.Langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan pembekuan setakat ini mencecah kira-kira RM16.8 juta.Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul ketika dihubungi mengesahkan siasatan kes berkenaan masih berjalan.Beliau berkata, pihaknya kini sedang memperluas skop siasatan termasuk mendapatkan kerjasama pihak berkuasa luar negara."Kerjasama melibatkan beberapa negara dan wilayah termasuk Singapura, British Virgin Islands, Emiriah Arab Bersatu serta Labuan bagi meneliti transaksi rentas sempadan."Fokus utama adalah untuk mengesan aset serta mengenal pasti rangkaian kewangan yang terlibat dalam kes ini," katanya.Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan reman seorang bekas CEO sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi syarikat pegangan bagi membantu siasatan berhubung penjualan saham.Mereka disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun berkenaan.
Go to News Site