Collector
Krisis Asia Barat: Agih peruntukan secara adil kepada semua ADUN - PN Pahang | Collector
Krisis Asia Barat: Agih peruntukan secara adil kepada semua ADUN - PN Pahang
Sinar Harian

Krisis Asia Barat: Agih peruntukan secara adil kepada semua ADUN - PN Pahang

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang menggesa Kerajaan Negeri Pahang agar menyalurkan peruntukan bantuan secara adil kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira fahaman politik.Pengerusinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung peruntukan RM15,000 kepada wakil rakyat bagi membantu rakyat susulan krisis Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi dan kos sara hidup.Menurutnya, langkah membantu rakyat yang berdepan tekanan kos hidup yang semakin meningkat ini sememangnya wajar disokong."Namun begitu, amat mendukacitakan apabila pengumuman Menteri Besar menyatakan bahawa bantuan tersebut akan disalurkan hanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN)."Pendekatan ini menzahirkan bahawa kerajaan BN Pahang masih bermain politik ketika rakyat sedang terhimpit dengan kesukaran hidup."Amalan sebegini bukan sahaja tidak menghormati mandat rakyat, malah menimbulkan persepsi bahawa bantuan kebajikan dijadikan alat kepentingan politik pihak pemerintah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Terdahulu, Wan Rosdy dilaporkan berkata kerajaan negeri mengambil langkah proaktif bagi meringankan beban rakyat susulan isu harga minyak dan subsidi.Beliau memaklumkan peruntukan RM15,000 seminggu disalurkan kepada wakil rakyat bagi membeli barangan asas untuk diagihkan kepada rakyat.Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan peruntukan tersebut sepatutnya disalurkan secara adil kepada semua ADUN yang dipilih oleh rakyat, tanpa mengira sama ada mereka daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.Jelasnya, Kerajaan negeri wajar mengambil teladan daripada pendekatan kerajaan PN pada tahun 2020 yang menyalurkan bantuan kepada semua Ahli Parlimen ketika negara menghadapi krisis wabak Covid-19 .Beliau menambah, semua ADUN berkhidmat untuk rakyat tanpa mengira parti politik."Kesempitan hidup yang dihadapi rakyat hari ini tidak mengenal bangsa, agama, kawasan mahupun warna parti."Jika ada kebimbangan bahawa pemberian peruntukan secara sama rata akan menguatkan pembangkang, hakikatnya ketidakadilan itulah yang sering menimbulkan simpati rakyat terhadap pembangkang," jelasnya.ADUN Cheka itu juga mengingatkan bahawa sejarah membuktikan kerajaan yang gagal berlaku adil akhirnya akan dihukum oleh rakyat.Katanya, pengalaman di beberapa negeri seperti Kelantan dan Terengganu pada masa lalu menunjukkan bahawa tindakan menafikan hak wakil rakyat pembangkang bukan menguatkan kerajaan, sebaliknya menimbulkan kemarahan rakyat."Ketidakadilan bukan sahaja merosakkan kepercayaan rakyat, malah menghilangkan keberkatan dalam pemerintahan," tegasnya.Sehubungan itu, PN Pahang sekali lagi menggesa kerajaan negeri agar memperbetulkan pendekatan ini.Ujarnya, kebajikan rakyat tidak seharusnya dipolitikkan dan kerajaan perlu berlaku adil dengan menghormati mandat rakyat serta menyalurkan bantuan kepada semua wakil rakyat tanpa diskriminasi."Jika pendekatan tidak adil ini berterusan, rakyat akan melihat bahawa yang diutamakan bukan kebajikan rakyat, tetapi kelangsungan kuasa politik semata-mata," katanya.

Go to News Site