Sinar Harian
SHAH ALAM - Kerajaan perlu bertindak segera melindungi ekonomi dengan memperkenalkan mekanisme penstabilan harga bagi sektor kritikal seperti pertanian, logistik dan pengeluaran makanan.Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bantuan bersasar kepada pesawah, nelayan dan pengusaha kecil juga mesti diperluaskan selain menyediakan sokongan kos input bagi mengelakkan gangguan musim penanaman.Bukan itu sahaja, beliau turut menyarankan supaya kerajaan mempertimbangkan potongan cukai kepada industri terkesan selain mengadakan libat urus segera dengan pihak berkepentingan bagi merangka langkah mitigasi yang berkesan.Kata Takiyuddin, kegagalan bertindak segera berisiko memberikan kesan jangka panjang kepada kestabilan harga makanan, kesejahteraan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara, malah ia juga berpotensi menjadi krisis yang sukar ditangani."PN memandang serius rayuan pesawah yang semakin tertekan akibat kenaikan berterusan harga diesel hingga meningkatkan kos penanaman padi dan mengancam kelangsungan pengeluaran makanan domestik."Menurut Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), petani mempunyai keupayaan terhad untuk menyerap peningkatan kos bajak atau tuai melebihi 50 peratus. Kos keseluruhan termasuk baja serta racun mencecah sehingga 65 peratus yang akan meningkatkan risiko kelewatan musim penanaman, pengurangan keluasan tanaman dan kemerosotan pengeluaran padi tempatan."Perkembangan ini berpotensi menjejaskan keselamatan makanan negara sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada import," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob yang memaklumkan keadaan itu diburukkan lagi oleh faktor cuaca serta kenaikan harga bahan api dan memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran.Atas dasar itu, katanya golongan pesawah di seluruh negara semakin tertekan dan bersedia menghentikan penanaman padi sekiranya kerajaan tidak segera campur tangan dalam menangani peningkatan kos operasi yang semakin membebankan kesan kenaikan harga diesel.Takiyuddin berkata, kerajaan menyasarkan tahap sara diri beras negara mencecah 75 peratus pada 2025 daripada 62.6 peratus (2022), namun jika diperhatikan secara lebih teliti, angka itu sebenarnya menurun kepada 56.2 peratus (2023) dan 52.9 peratus (2024).Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjangkakan ia terus menurun pada 2025 dan tahun ini.Beliau berpandangan kebimbangan peningkatan kos bukan sahaja disuarakan oleh pesawah, malah turut dikongsi pelbagai sektor termasuk logistik, pengangkutan, pembinaan, perladangan, perikanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).Tambah beliau, peningkatan kos operasi dalam sektor-sektor tersebut dijangka memberi kesan rantaian kepada harga barangan dan perkhidmatan yang akhirnya membebankan rakyat."Umum mengetahui tekanan harga semasa sebahagiannya dipengaruhi oleh ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik di Asia Barat yang menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran tenaga dunia."Walaupun begitu, semua pihak turut menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera dan konkrit bagi mengurangkan kesan buruknya terhadap ekonomi domestik sehingga ke tahap melumpuhkan daya tahan serta kemampuannya untuk pulih."Perkembangan global tidak boleh terus dijadikan alasan untuk lewat bertindak. Kerajaan perlu melaksanakan langkah segera dan konkrit bagi melindungi sektor kritikal sebelum tekanan kos menjadi lebih serius," ujarnya.Tambahnya lagi, keadaan sebegini turut berlaku ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang berterusan termasuk kesan pelarasan tarif elektrik, kenaikan kos bahan mentah lain serta peningkatan caj perkhidmatan."Kenaikan harga gas juga memburukkan keadaan kerana ia akan meningkatkan kos penjanaan elektrik, pengeluaran industri serta sektor pembuatan yang berpotensi mencetuskan kenaikan harga lebih meluas dalam ekonomi."Harga gas industri misalnya meningkat lebih 20 peratus bagi tong 15 kilogram (kg) daripada RM70 kepada RM84 dan bagi tong 50 kg pula naik lebih 22 peratus iaitu daripada RM220 kepada RM270," jelas Setiausaha Agung Pas itu.
Go to News Site