Sinar Harian
KOTA BHARU - Wilayah Timur mencatat antara skor tertinggi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) di Semenanjung Malaysia dengan nilai 0.741, sekali gus mencerminkan kekuatan nilai komuniti, toleransi serta hubungan sosial yang erat dalam kalangan masyarakat setempat.Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha berterusan kerajaan bersama rakyat dalam memperkukuh perpaduan berada pada landasan yang tepat.Menurut beliau, dapatan keseluruhan IPNas 2025 yang merekodkan skor 0.701 pada tahap sederhana tinggi juga memberi gambaran positif terhadap tahap perpaduan negara ketika ini."Pencapaian ini bukan sekadar untuk dibanggakan, tetapi perlu dijadikan panduan strategik dalam merangka dasar serta program yang lebih berkesan bagi memperkukuh perpaduan nasional," katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Zon Timur di AEON Mall, di sini pada Sabtu.Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan Wilayah Timur turut dipengaruhi oleh kekuatan hubungan komuniti yang kukuh, selain amalan toleransi dan semangat kebersamaan yang tinggi dalam kalangan rakyat.Katanya, pencapaian negeri seperti Pahang yang merekodkan skor tertinggi di Malaysia membuktikan perpaduan boleh dibina secara nyata melalui tadbir urus yang baik, pembangunan inklusif serta penglibatan aktif masyarakat.Dalam pada itu, beliau tidak menafikan masih terdapat cabaran semasa yang perlu ditangani secara strategik, termasuk isu berkaitan etnisiti, media, politik, agama serta jurang sosial yang boleh mempengaruhi hubungan antara komuniti."Dalam era digital yang pantas, penyebaran maklumat tanpa kawalan boleh memberi kesan langsung terhadap persepsi masyarakat dan seterusnya menjejaskan keharmonian," katanya.Sehubungan itu, beliau menegaskan pendekatan bersifat umum atau program bersifat sekali sahaja tidak lagi relevan, sebaliknya kerajaan kini memberi penekanan kepada pendekatan bersasar yang lebih menyeluruh merentas generasi dan lapisan masyarakat."Pengukuhan ekosistem perpaduan perlu dilaksanakan secara berterusan melalui pendidikan, komuniti, agama, belia serta pembangunan sosioekonomi bagi memastikan perpaduan kekal utuh," katanya.
Go to News Site