Sinar Harian
CADANGAN Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon untuk mengadakan sesi meja bulat demi menyelamatkan Liga Malaysia sepatutnya dilihat sebagai satu langkah positif, namun reaksi segelintir pihak yang terlalu cepat membuat kesimpulan jelas mencerminkan budaya bola sepak tempatan yang masih belum matang.Belum pun cadangan itu diumumkan serta diperincikan, sudah wujud pelbagai tanggapan negatif daripada dakwaan mempunyai agenda tersembunyi sehinggalah anggapan ia sekadar retorik kosong.Hakikatnya, dalam keadaan liga yang berdepan pelbagai isu, sebarang usaha membuka ruang perbincangan wajar diberi perhatian serius bukan ditolak mentah-mentah.Liga Malaysia ketika ini berdepan cabaran besar termasuk masalah kewangan kelab, isu tunggakan gaji, kehadiran penyokong yang semakin merosot serta model pengurusan yang belum benar-benar mampan.Dalam konteks ini, pendekatan meja bulat yang menghimpunkan semua pemegang taruh seperti Persatuan Bolasepak Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kelab, penaja dan penyokong dilihat sebagai satu platform yang berpotensi merungkai permasalahan secara kolektif.Namun persoalan utama tidak hanya tertumpu kepada cadangan semata-mata, tetapi sejauh mana komitmen semua pihak untuk bertindak.Tanpa keikhlasan dan kesediaan melakukan reformasi, sesi perbincangan hanya akan menjadi satu lagi episod tanpa hasil yang konkrit.Dalam masa sama, penyokong juga perlu memainkan peranan lebih rasional dengan menilai sesuatu cadangan secara objektif.Budaya menghukum dahulu hanya akan membantutkan usaha membina semula ekosistem bola sepak negara.Apa salahnya kita mendengar dahulu dan selepas itu terpulang kepada kelab atau penyokong yang mempunyai hak mahu menerimanya atau tidak.Namun, satu perkembangan yang cukup melegakan adalah kesediaan beberapa gergasi liga seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu FC, Sabah FC, selain Negeri Sembilan FC dan Penang FC untuk duduk semeja.Ini menunjukkan bahawa masih ada keinginan dalam kalangan pemegang taruh untuk melihat perubahan berlaku.Justeru, sama ada cadangan ini berjaya atau tidak bergantung kepada tindakan susulan.Meja bulat mungkin bukan penyelesaian mutlak, tetapi ia boleh menjadi titik permulaan penting jika semua pihak benar-benar bersedia untuk melakukan perubahan.
Go to News Site