Sinar Harian
SHAH ALAM - Bermula daripada rasa ingin tahu tentang sulaman keringkam pada usia sembilan tahun, seorang pengusaha asal Kuching akhirnya memartabatkan seni tekstil tradisional Sarawak itu.Pengusaha keringkam, Norinda Suut berkata, usaha memelihara warisan selendang sulaman daripada benang logam disadur berwarna emas dan perak itu bermula sejak tiga generasi lagi, diturunkan daripada arwah nenek, ibu sehinggalah kepada wanita berusia 58 tahun tersebut.Bagi Norinda, seni menyulam keringkam yang diperkenalkan sejak ratusan tahun lalu mesti terus dipupuk agar ia hidup merentasi pelbagai generasi."Keringkam adalah seni sulaman halus yang diwarisi kebanyakannya daripada satu keluarga kepada satu keluarga di Sarawak. Kebanyakan wanita dalam keluarga belah mak saya menyulam keringkam."Saya generasi ketiga dan masih meneruskan tradisi kerana terlalu sayangkan seni warisan ini yang kalau orang nak tahu, ia diperkenalkan sejak zaman pentadbiran James Brooke lagi."Dahulu saya lihat arwah nenek sulam keringkam di ruang bawah rumah, timbul rasa minat nak mencuba... Saya cuba sulam bentuk gunung, lama-kelamaan seronok pula jadi arwah minta saya teruskan dan hingga ke hari ini saya masih menyulam," katanya.Norinda berkongsi kisahnya menyulam keringkam sejak kecil ketika ditemui Sinar Harian di Pavilion Sarawak sempena penganjuran Matta Fair April 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) baru-baru ini.Difahamkan, penghasilan keringkam ke atas selendang, tudung, bahkan pembalut kusyen memakan masa agak lama dan harga bagi setiap unit pula mampu mencecah angka ratusan hingga ribuan ringgit.Wanita tersebut menambah, berkat kesungguhannya memartabatkan seni halus itu menuai reaksi positif dalam kalangan masyarakat setempat, bahkan menerima pengiktirafan anugerah di pentas antarabangsa.Katanya, beliau pernah mengharumkan nama Malaysia apabila meraih tempat ketiga dalam pertandingan 'Heritage Gold Embroidery' di Uzbekistan.Tidak cuma itu, Norinda memaklumkan, dirinya pernah dibawa ke Berlin untuk mengadakan demonstrasi sulaman termasuk Turkiye dan Indonesia bagi mengkaji keunikan seni tekstil di negara tersebut."Selain itu, saya juga mengajar sulaman keringkam di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)."Mak saya, Mastura Sedik juga pernah dianugerahkan gelaran 'The Living Legend' oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) atas usaha memartabatkan seni keringkam ini."Pada saya, keringkam bukan sekadar warisan tekstil Melayu Sarawak, tetapi khazanah budaya bernilai tinggi yang menuntut kesabaran, ketelitian dan keberanian untuk terus dipertahankan merentasi arus moden," ujarnya lagi.
Go to News Site