Sinar Harian
SHAH ALAM – Ibu bapa mempunyai anak autisme berdepan cabaran besar dalam menentukan pendekatan sesuai untuk menyokong perkembangan kanak-kanak tersebut memandangkan setiap daripada mereka mempunyai keperluan terapi yang berbeza.Pelakon, Zarina Zainuddin, 55, berkata, pengalaman membesarkan dua anak kembar autisme mengajarnya bahawa tiada satu kaedah khusus sesuai untuk semua, sebaliknya ia bergantung kepada kemampuan dan keserasian kanak-kanak itu sendiri.Ujarnya, pada peringkat awal, dia pernah menghantar anak-anaknya, Muhammad Raizal Azrai (Azal) dan Muhammad Razil Azrai (Azil) ke beberapa pusat terapi swasta termasuk terapi pertuturan."Setiap kelas mempunyai kaedah terapi berbeza. Ada tempat yang anak-anak boleh sesuaikan diri, ada juga yang tidak."Jika saya hantar ke terapi pertuturan, Azil tidak dapat mengikuti dan akan mengamuk, manakala Azal pula boleh memberi respons dan bercakap dengan lebih baik," katanya kepada Sinar Ahad.Laporan khas Sinar Harian pada Sabtu mendedahkan realiti kos terapi kanak-kanak autisme di Malaysia kini semakin membebankan ibu bapa dengan anggaran perbelanjaan mencecah sehingga RM4,000 sebulan bagi mendapatkan rawatan konsisten dan berkesan.Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Mohd Nazrul Mohd Amin berkata, anggaran kos itu melibatkan keperluan menjalani beberapa jenis terapi serentak termasuk pertuturan, cara kerja dan tingkah lakuMengulas lanjut, Zarina atau nama penuhnya, Nur Zarina Mohd Zainuddin berkata, kedua-dua anaknya mula menjalani rawatan di pusat terapi swasta sejak berusia enam tahun.Menurutnya, bagaimanapun selepas dua tahun, dia mengambil keputusan untuk meneruskan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)."Ada pusat mengenakan yuran sekitar RM800 hingga RM1,200 sebulan bagi seorang anak. Masa itu saya cuba pelbagai pusat sebab kita tidak tahu kaedah mana yang paling sesuai untuk anak kita."Selepas berpindah dari satu tempat ke satu tempat selama dua tahun, akhirnya saya membuat keputusan menghantar anak-anak ke hospital pakar kerajaan sahaja," kongsinya.Kata Zarina, kos rawatan di hospital kerajaan jauh lebih rendah terutama bagi pemegang kad orang kurang upaya (OKU)."Di hospital kerajaan, kita hanya perlu bayar sekitar RM1 untuk ubat. Terapi memang ada disediakan tetapi tidak sekerap di swasta, biasanya hanya sekali atau dua kali sebulan," jelasnya.Ujar Zarina, ibu bapa tidak boleh terlalu bergantung kepada pusat terapi semata-mata kerana peranan utama membentuk perkembangan anak terletak pada keluarga."Mereka tidak boleh melakukan terlalu banyak perkara dalam satu masa. Jika terlalu banyak aktiviti, mereka akan keliru dan mudah memberontak."Apa yang penting ialah konsistensi dan peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak ini," ujarnya.
Go to News Site