Collector
Ronaldo disaran bersara selepas Piala Dunia 2026 | Collector
Ronaldo disaran bersara selepas Piala Dunia 2026
Sinar Harian

Ronaldo disaran bersara selepas Piala Dunia 2026

CRISTIANO Ronaldo dinasihatkan untuk bersara daripada kancah bola sepak profesional sejurus tamat kempen Piala Dunia 2026, berbanding kemungkinan mengikut jejak langkah Lionel Messi ke Amerika Syarikat.Bekas pemain tengah Arsenal dan Sweden, Anders Limpar percaya bintang Al-Nassr itu perlu fokus untuk melindungi legasi luar biasanya daripada tercalar dengan menyertai Liga Bola Sepak Utama (MLS) yang dianggap bukan satu liga yang mudah.Ketika Ronaldo terus mempamerkan aksi bertenaga di Liga Pro Saudi meskipun usia kian meningkat, perdebatan mengenai destinasi terakhir kariernya semakin hangat diperkatakan.Walaupun peminat mengharapkan pertemuan semula Ronaldo dan Messi di MLS, Limpar berpendapat perpindahan ke Amerika Syarikat hanya akan memberi tamparan realiti yang perit buat ikon berusia 41 tahun itu."Jika MLS mahu menjadi liga yang lebih besar, mereka pasti mahu membawa bintang seperti Cristiano Ronaldo, tetapi dia akan berusia 41 tahun ketika itu. Dia juga mengalami kecederaan dalam dua perlawanan terakhir Portugal."Saya amat mengagumi pemain seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo yang masih mampu bermain selepas memenangi segalanya, ia sesuatu yang menakjubkan. Namun, bukankah lebih baik Ronaldo berhenti sahaja selepas Piala Dunia nanti?" katanya.Jelas Limpar, kebimbangan utamanya adalah sekiranya Ronaldo merosakkan reputasi hebat yang telah dibina sepanjang menyarung jersi kelab gergasi seperti Manchester United, Real Madrid dan Juventus.Tambahnya lagi, sasaran Ronaldo untuk mencapai rekod bersejarah 1,000 gol dalam kariernya sepatutnya menjadi isyarat terakhir untuk beliau meninggalkan padang hijau buat selama-lamanya."Mengapa perlu memulakan perjalanan lain di MLS pada usia 41 tahun? Ia bukan liga yang mudah untuk bermain kerana terdapat ramai pemain berkualiti di sana."Pesanan saya kepada Ronaldo, tolonglah demi legasi anda, jaringkan 1,000 gol itu dan kemudian bersaralah. Tiada siapa boleh mendekati apa yang telah beliau capai sebagai pemain bola sepak," ujarnya.Dalam pada itu, kehadiran Ronaldo di Arab Saudi juga tidak sunyi daripada kontroversi.Persaingan takhta liga melibatkan Al-Nassr ketika ini turut terpalit dengan dakwaan daripada pemain lawan mengenai mutu pengadilan.Bekas penyerang Brentford yang kini menyarung jersi Al-Ahli, Ivan Toney baru-baru ini mendakwa pengadil seolah-olah 'menutup mata' terhadap insiden tertentu demi memberi kelebihan kepada Al-Nassr dalam pemburuan gelaran juara.

Go to News Site