Sinar Harian
SUNGAI PETANI – Penyakit rheumatoid arthritis (RA) merupakan sejenis arthritis berunsur keradangan yang boleh menjejaskan keupayaan pesakit sekiranya tidak dikesan dan dirawat pada peringkat awal.Pakar Rheumatologist dan Perubatan Dalaman Hospital Pantai Sungai Petani dan Hospital Laguna Merbok, Dr Ng Boon Han berkata, arthritis secara umum terbahagi kepada dua kategori utama iaitu inflammatory arthritis dan degenerative arthritis, masing-masing mempunyai punca berbeza.Menurutnya, inflammatory arthritis berlaku akibat proses keradangan, manakala degenerative arthritis berpunca daripada kehausan sendi, dengan osteoarthritis antara contoh paling kerap dikesan."RA termasuk dalam kumpulan inflammatory arthritis selain penyakit seperti systemic lupus erythematosus (SLE) dan psoriasis yang turut boleh menyebabkan keradangan sendi," katanya.Beliau menjelaskan, diagnosis dibuat berdasarkan penilaian klinikal menyeluruh meliputi sejarah penyakit, pemeriksaan fizikal, ujian darah serta pemeriksaan imbasan seperti X-ray atau MRI bagi mengesahkan keadaan pesakit.Dr Ng berkata, RA mempunyai kaitan dengan faktor genetik dan individu yang mempunyai ahli keluarga terdekat menghidap penyakit berkenaan berisiko lebih tinggi."Antara simptom awal RA ialah kekakuan sendi terutama pada waktu pagi, dikenali sebagai early morning stiffness, yang boleh berlarutan selama beberapa jam sebelum pesakit berasa lega dan mampu melakukan rutin harian," katanya.Tambah beliau, kesakitan lazimnya melibatkan sendi tangan, pergelangan, siku, bahu, lutut, buku lali serta jari kaki dan sering menyerang kedua-dua belah badan secara simetri.Menurutnya, dalam keadaan akut yang disertai bengkak, pesakit boleh mengalami kesukaran melakukan tugasan asas termasuk memegang objek, berpakaian, berdiri atau memandu, bergantung kepada sendi terlibat."Sekiranya tidak dirawat, RA boleh menyebabkan kecacatan sendi, hakisan tulang dan ketidakupayaan kekal," katanya.Dr Ng memaklumkan, penyakit itu boleh menyerang seawal usia remaja dan lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita, dengan faktor persekitaran seperti asap rokok turut meningkatkan risiko.Dari segi rawatan, katanya, RA tidak dapat disembuhkan sepenuhnya namun boleh dikawal menggunakan ubat dikenali sebagai Disease Modifying Anti-Rheumatic Drugs (DMARDs)."Apabila diagnosis disahkan, rawatan perlu dimulakan segera. DMARDs diberikan sama ada dalam bentuk oral atau suntikan, bergantung kepada tahap penyakit dan kesesuaian pesakit," katanya.Beliau turut menekankan kesan RA bukan sahaja melibatkan fizikal, malah memberi implikasi sosioekonomi serta emosi termasuk risiko kemurungan, kebimbangan dan gangguan tidur.Berhubung kehamilan, Dr Ng berkata, pesakit RA dinasihatkan menangguhkan perancangan tersebut sehingga penyakit benar-benar terkawal sekurang-kurangnya enam bulan dan ubat yang diambil selamat untuk kandungan."Kesedaran terhadap simptom awal dan mendapatkan penilaian doktor dengan segera amat penting bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang," katanya.
Go to News Site