Sinar Harian
GEORGE TOWN – Keluarga yang mempunyai anak autisme terus diberi perhatian melalui pelbagai bentuk bantuan sedia ada berdasarkan penilaian keperluan dan kelayakan setiap kes.Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP), Mohamad Kairi Ghazalli berkata, ketika ini pihaknya tidak mempunyai skim bantuan yang dikhaskan secara khusus untuk kanak-kanak autisme.Menurutnya, walaupun tiada skim khusus, pihaknya amat memahami cabaran yang dihadapi keluarga yang mempunyai anak autisme terutama melibatkan keperluan rawatan, pendidikan dan kos sara hidup berterusan."Sebagai contoh, bagi keperluan rawatan dan intervensi perubatan, permohonan boleh dikemukakan kepada Zakat MAINPP untuk dinilai dan pembiayaan boleh dipertimbangkan tertakluk kepada syarat ditetapkan."Selain itu, terdapat juga keluarga yang mempunyai anak autisme menerima Skim Agihan Kewangan Bulanan dan bantuan berkaitan perubatan bagi meringankan beban ditanggung," katanya.Tambah beliau, Zakat MAINPP akan terus meneliti dan menambah baik pendekatan bantuan dari masa ke masa agar lebih responsif terhadap keperluan semasa termasuk melibatkan keluarga yang mempunyai anak istimewa."Zakat MAINPP sentiasa memastikan kebajikan golongan asnaf terbela," jelasnya.
Go to News Site