Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu yang akan diadakan pada Isnin ini merupakan platform utama bagi memperincikan strategi mendepani krisis ekonomi, khususnya kesan rantaian kenaikan harga petroleum.Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu merangkap Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri, Datuk Azan Ismail berkata, konvensyen yang akan berlangsung di Terengganu Equestrian Resort (TER) itu merupakan kesinambungan daripada siri Mesyuarat Agung Tahunan Cabang di seluruh negara.Menurut beliau, program itu bukan sekadar aktiviti tahunan atau pelengkap organisasi, malah menjadi medium rasmi untuk menyalurkan polisi serta rancangan terbaharu daripada peringkat kepimpinan pusat ke akar umbi."Kita tahu sebelum ini tidak ada mana-mana parti yang mengambil inisiatif memberi penerangan isu semasa melalui medium konvensyen sehingga ke peringkat cabang dan ranting."Pucuk pimpinan serta Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melihat adanya keperluan mendesak untuk menyegerakan penerangan secara formal."Jadi, konvensyen ini akan melibatkan kelapan-lapan cabang di Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Media Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Terengganu Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini pada Sabtu.Mengulas lanjut mengenai pengisian konvensyen, Azan berkata, tumpuan utama akan diberikan kepada persediaan rakyat dan kepimpinan parti dalam menghadapi fasa krisis yang telah berulang kali disebut oleh Perdana Menteri."Perdana Menteri telah memberi peringatan bahawa kita berada dalam fasa menghadapi krisis kesan daripada kedudukan harga petroleum yang akan merebak kepada item lain."Suasana sekarang mungkin belum dirasai sepenuhnya oleh rakyat. Kelewatan memahami dan membuat persiapan dikhuatiri memberi kesan kepada kita," jelas beliau.Tambah beliau lagi, konvensyen itu bertujuan memberi arahan terus kepada pimpinan peringkat cabang untuk merangka strategi menyeluruh, selain mendapatkan maklum balas mengenai keperluan sebenar rakyat di setiap daerah.Katanya, langkah itu penting bagi memastikan bantuan tidak hanya terhad kepada program bantuan bakul makanan seperti yang dijalankan sepanjang Ramadan dan Syawal lalu, tetapi merangkumi persediaan jangka panjang yang lebih mampan."Kita mahu pimpinan di peringkat cabang, ranting, serta rakan dalam Kerajaan Perpaduan mengambil inisiatif lebih awal. Jangan tunggu saat akhir," katanya.Beliau turut memaklumkan, lebih 1,000 ahli PKR dijangka menghadiri konvensyen tersebut dan jumlah itu terpaksa dihadkan memandangkan kapasiti dewan di TER hanya mampu memuatkan sekitar 800 orang.Selain itu katanya, jemputan turut dikeluarkan kepada wakil parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan untuk hadir pada sesi pembukaan konvensyen tersebut.
Go to News Site