Sinar Harian
SUNGAI BULOH - Seorang tahanan reman warga Pakistan yang dilaporkan melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, di sini pada 9 April lalu dipercayai masih berada dalam negara.Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya sedang giat meneruskan usaha memburu dan menjejaki lelaki berkenaan dengan skop pencarian masih tertumpu dalam negara."Setakat ini masih belum ada tangkapan dan pihak polis masih dalam tindakan mencari dan mengesan suspek itu."Skop pencarian suspek masih dalam negara," katanya pada Ahad.Media sebelum ini melaporkan, polis telah memperhebat operasi memburu dan menjejaki tahanan reman berusia 24 tahun itu.Tahanan itu ialah Muhammad Hassan yang menghadapi beberapa pertuduhan termasuk kes seksual di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak selain Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.Mohd Hafiz dilaporkan berkata, pengoperasian telah digerakkan pada skala yang lebih besar dengan bantuan daripada pelbagai agensi bagi mengekang suspek daripada meloloskan diri keluar dari negara selain pemakluman pihak berwajib di pintu persempadanan.Orang awam yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor C Muhendran di talian 010-4304383 atau Inspektor Azamuddin di talian 016-5661597.
Go to News Site